Edaran Otomobil Nasional (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad dan salah satu peneraju utama dalam ekosistem automotif pelbagai jenama serta penyedia penyelesaian mobiliti terkemuka di Malaysia, hari ini secara rasmi melancarkan EON & Sahabat Autofest 2025. Ini merupakan penganjuran kali kedua acara utama yang menggabungkan elemen automotif dan gaya hidup, yang sedang berlangsung sehingga 10 Ogos
“EON & Sahabat Autofest 2025 menampilkan kekuatan ekosistem luas kami, termasuk kemudahan kepada pelanggan dengan mengumpulkan pelbagai jenama kereta di bawah satu tempat. Berurusan dengan EON bukan hanya sekadar satu transaksi – ia adalah permulaan hubungan jangka panjang yang dibina atas kepercayaan yang berterusan melangkaui pembelian kenderaan anda,” kata Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad.
Penganjuran Autofest tahun ini menandakan transformasi EON sebagai rakan mobiliti moden, dengan pengenalan identiti jenama baharu yang diperbaharui dan disatukan untuk keseluruhan Kumpulan Syarikat EON.
Berteraskan pengenalan slogan baharu EON, “Semangat Memacu Aspirasi”, yang melambangkan usaha syarikat untuk memberi nilai kepada pelanggan melalui perkhidmatan yang bersemangat, inovasi, dan mobiliti yang mudah diakses. Slogan ini disokong oleh visi jenama EON iaitu “Menerajui mobiliti masa hadapan, dipacu dengan hati,” yang menunjukkan komitmen syarikat terhadap penyelesaian masa depan yang progresif dan berfokuskan pelanggan.
Inisiatif penjenamaan ini juga menyatukan semua cawangan, perkhidmatan, dan platform EON di seluruh negara di bawah satu jenama yang konsisten, dengan tujuan untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan sinergi operasi.
“Penjenamaan baharu ini mencerminkan EON hari ini, sebuah organisasi moden yang mengutamakan pelanggan dan sentiasa bersama mereka sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan mereka. Pendek kata, kami ingin memenuhi setiap keperluan anda,” tambahnya.
Selaras dengan fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan pelanggan, EON & Sahabat Autofest 2025 turut menawarkan lapan zon aktiviti bagi pengalaman yang menyeluruh. Zon-zon ini menggabungkan pelbagai tawaran kenderaan untuk setiap jenama, penyelesaian kewangan, perkhidmatan selepas jualan, aktiviti gaya hidup yang sesuai untuk seisi keluarga. Pelanggan yang mendaftar awal juga berpeluang memenangi barangan edisi terhad, termasuk koleksi model Hot Wheels Proton Saga Edisi Ulang Tahun ke-40.
Antara jenama automotif yang mengambil bahagian termasuk Proton, smart, Mitsubishi, Honda, Isuzu, Audi, Volkswagen dan Daihatsu. Acara ini turut disokong oleh rakan-rakan strategic utama dalam bidang pembiayaan, insurans, teknologi mobiliti dan juga perkhidmatan selepas jualan.
“Pengunjung boleh mencuba pandu uji kenderaan daripada pelbagai jenama ini. Mereka juga boleh mendapatkan kelulusan pinjaman daripada bank dalam masa 30 minit di lokasi menerusi Tras, platform pembiayaan digital EON yang inovatif. Selaras dengan perubahan keperluan dan harapan pelanggan, kami akan terus berpegang kepada slogan kami, di mana semangat kami mendorong pelbagai kemungkinan yang baharu,” jelas Akkbar.
Selain itu, promosi dan rebat eksklusif sehingga RM40,000 ditawarkan sepanjang tempoh Autofest dan turut sah di semua cawangan EON di seluruh Malaysia bagi membolehkan pelanggan menikmati tawaran dan pilihan pembiayaan yang sama.
Autofest tahun ini julung kalinya memperkenalkan sistem bidaan langsung (Live Tender) untuk kenderaan terpakai yang telah disahkan, di mana pelanggan boleh membuat bidaan secara dalam talian melalui proses digital yang telus sepenuhnya.
Menarik juga, Autofest menyediakan Zon Kanak-kanak & Keluarga dengan menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti hadiah T-shirt yang boleh direka sendiri, stesen unboxing Hot Wheels, dan ruang mesra ibu bapa.
Antara aktiviti menarik lain termasuklah penampilan khas oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan dari KS Lagi erta lagenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh atau lebih dikenali sebagai “Flying Sikh” pada 9 Ogos 2025.
Turut diadakan konsert mini pada petang Ahad, 10 Ogos 2025 yang menampilkan Nolee dan Aisha Retno.



