Setiap kejayaan pasti ada penghujungnya, dan dalam hal ini, ia melibatkan Tesla. Bekas peneraju jualan kenderaan elektrik (EV) global itu kini telah menyerahkan takhtanya kepada BYD, selepas syarikat tersebut berjaya menjual lebih 2 juta kenderaan berkuasa bateri sepanjang tahun 2025 untuk bergelar juara baharu jualan EV dunia. Tesla mengumumkan penurunan sebanyak sembilan peratus dalam penghantaran
Setiap kejayaan pasti ada penghujungnya, dan dalam hal ini, ia melibatkan Tesla. Bekas peneraju jualan kenderaan elektrik (EV) global itu kini telah menyerahkan takhtanya kepada BYD, selepas syarikat tersebut berjaya menjual lebih 2 juta kenderaan berkuasa bateri sepanjang tahun 2025 untuk bergelar juara baharu jualan EV dunia.
Tesla mengumumkan penurunan sebanyak sembilan peratus dalam penghantaran kenderaan bagi tahun tersebut. Kemerosotan ini sebahagiannya berpunca daripada pemansuhan subsidi EV persekutuan di Amerika Syarikat, dalam bentuk kredit cukai persekutuan sebanyak USD7,500 dalam tempoh tiga bulan terakhir. Pengeluar kereta tersebut mencatatkan jualan sebanyak 1.64 juta unit di seluruh dunia. Malah, pelancaran varian ‘Standard’ bagi Model 3 dan Model Y yang lebih ringkas juga gagal menyekat trend penurunan tersebut.
Sebaliknya, lonjakan BYD ke puncak didorong oleh peningkatan jumlah jualan keseluruhan kenderaan sebanyak 7.7 peratus kepada 4.6 juta unit, di mana hampir separuh daripada angka tersebut terdiri daripada model EV. Pencapaian ini secara efektif mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju baharu pasaran EV.
Para pemandu, dan orang awam secara amnya, sekian lama mempunyai hubungan ‘benci tapi rindu’ dengan Tesla ekoran haluan politik Elon Musk yang penuh kontroversi. Maka, tidak menghairankan apabila ramai yang meraikan kejatuhan pengeluar kereta tersebut dari kedudukan teratas.
Walau bagaimanapun, tidak semua pihak menyambut baik penguasaan BYD, terutamanya negara-negara berindustri automotif utama. BYD terbukti menjadi pesaing yang amat sengit, dengan jualan di pasaran United Kingdom (UK) meningkat sebanyak 880 peratus.
BYD juga tidak leka dengan kejayaan ini, memandangkan beberapa model kemaskini sedang dalam perancangan. Setakat ini, persaingan sengit hanya dijangka datang daripada rakan senegara mereka sendiri, iaitu Geely atau Xiaomi.

