Volvo baru-baru ini telah mengeluarkan notis keselamatan global bagi model elektrik Volvo EX30 susulan risiko kebakaran akibat kecacatan pada modul sel bateri yang boleh menyebabkan pemanasan melampau. Walaupun laporan awal menyatakan bateri tersebut dikilangkan oleh Sunwoda, syarikat itu kini tampil menjelaskan keadaan sebenar. Menurut laporan Car News China, Pengerusi Sunwoda Electronic Co., Wang Wei, menyangkal
Volvo baru-baru ini telah mengeluarkan notis keselamatan global bagi model elektrik Volvo EX30 susulan risiko kebakaran akibat kecacatan pada modul sel bateri yang boleh menyebabkan pemanasan melampau. Walaupun laporan awal menyatakan bateri tersebut dikilangkan oleh Sunwoda, syarikat itu kini tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Menurut laporan Car News China, Pengerusi Sunwoda Electronic Co., Wang Wei, menyangkal dakwaan yang mengaitkan syarikatnya secara langsung sebagai pengeluar bateri tersebut.
“Pek bateri tersebut sebenarnya dibekalkan oleh kilang-kilang di bawah sistem dalaman Volvo sendiri,” jelas Wang. Beliau turut menegaskan bahawa pek bateri berkenaan tidak dibekalkan secara terus oleh Sunwoda.
Sebaliknya, sel bateri itu dihasilkan oleh Shandong Geely Sunwoda Co., Ltd, sebuah syarikat usaha sama antara Geely dan Sunwoda, di mana Sunwoda hanya memegang kepentingan minoriti sebanyak 30%.
Selain itu, pegawai Sunwoda mengesahkan bahawa transaksi melibatkan bateri EX30 yang ditarik balik itu tidak mempunyai kaitan dengan Sunwoda Power. Walaupun syarikat usaha sama tersebut menghasilkan sel bateri, ia kemudiannya dibekalkan kepada pembekal sistem bateri Volvo sendiri yang memasang unit-unit tersebut menjadi pek bateri lengkap untuk kenderaan elektrik (EV).
Pembekal sistem bateri yang dimaksudkan ialah Viridi E-Mobility Technology (Ningbo) Co., Ltd., sebuah anak syarikat Geely yang bertanggungjawab mereka bentuk dan mengilangkan reka bentuk pek bateri, sistem pengurusan bateri, pengurusan haba serta komponen struktur.
Bagaimanapun, Viridi telah memfailkan saman terhadap Sunwoda dengan tuntutan ganti rugi sebanyak 2.31 bilion yuan (~RM1.34 bilion) atas dakwaan membekalkan sel bateri yang cacat kepada mereka.
Penarikan balik global ini melibatkan sebanyak 33,777 unit EX30. Menurut pihak Volvo, hanya 0.02% daripada sel bateri tersebut mengalami masalah pemanasan melampau. Di Brazil, sebuah EX30 dilaporkan terbakar di sebuah bilik pameran pada November 2025, yang mencetuskan kebimbangan mengenai model tersebut.
Notis Volvo di Brazil menyebut bahawa kecacatan pembuatan pada sel bateri boleh menyebabkan litar pintas dalaman dan berisiko mencetuskan kebakaran.
Di Malaysia, Volvo Car Malaysia (VCM) telah mengeluarkan notis keselamatan (bukan arahan penarikan balik sepenuhnya) untuk EX30, khususnya bagi unit-unit tertentu model Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance yang dihasilkan dan dijual antara tahun 2024 dan 2025.
Buat masa ini, VCM menasihatkan pemilik untuk tidak mengecas EX30 mereka melebihi paras 70%. Pemilik juga disarankan untuk menetapkan had pengecasan tersebut melalui menu tetapan kenderaan bagi mengelakkan pengecasan melebihi had yang ditetapkan secara tidak sengaja.



