Huawei Technologies menyasarkan sistem bantuan pemandu canggih Qiankun ADS miliknya akan dipasang pada lebih 80 model kenderaan berbeza tahun ini, dengan sasaran mencecah 3 juta unit di jalan raya. Setakat November 2025, Qiankun ADS telah digunakan dalam kira-kira 20 model, namun teknologi ini sedang diterima pakai dengan pantas oleh pengeluar kereta dari China. Huawei bukan
Huawei Technologies menyasarkan sistem bantuan pemandu canggih Qiankun ADS miliknya akan dipasang pada lebih 80 model kenderaan berbeza tahun ini, dengan sasaran mencecah 3 juta unit di jalan raya.
Setakat November 2025, Qiankun ADS telah digunakan dalam kira-kira 20 model, namun teknologi ini sedang diterima pakai dengan pantas oleh pengeluar kereta dari China.
Huawei bukan sahaja memasang teknologi tersebut pada kenderaan yang dibangunkan bersama pengeluar lain, malah turut membekalkannya kepada jenama-jenama luar.
Qiankun ADS merangkumi rangkaian perisian dan perkakasan kereta pintar yang menawarkan ciri-ciri seperti bantuan pemanduan autonomi (ADAS), kokpit pintar, dan navigasi. Berbeza dengan sistem lain, Qiankun merupakan pakej “full-stack” yang lengkap dengan semua komponen yang diperlukan.
Sistem ini telah berevolusi melalui versi seperti ADS 3.0, 4.0, dan Ultra untuk pelbagai tahap automasi yang hampir mencecah kategori pemanduan autonomi Tahap 3 (L3). Ramai pihak dalam industri menganggapnya setanding, malah lebih baik daripada sistem FSD milik Tesla.
Kerjasama Huawei dengan pengeluar kereta China yang lain dijangka menghasilkan sekurang-kurangnya 12 model baharu pada tahun 2026. Apabila digabungkan dengan model sedia ada di pasaran, ini akan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 model yang dilengkapi dengan Qiankun ADS.
Kumpulan tersebut akan membekalkan teknologi itu kepada lebih banyak pengeluar kereta yang bukan rakan kongsi jenama, bermula dengan SAIC-GM-Wuling Automobile, sebuah syarikat usaha sama melibatkan milik kerajaan SAIC Motor dan General Motors, yang akan memasangnya pada model SUV akan datang.
Selain itu, Kumpulan FAW juga akan memasang teknologi tersebut pada jenama mewah mereka, Hongqi. Jenama-jenama lain seperti pengeluar automotif milik kerajaan, Guangzhou Automobile Group dan Dongfeng Motor Group, turut akan menerima pakai Qiankun ADS. Malah, Honda juga telah bersetuju untuk menggunakan sistem tersebut pada rangkaian kenderaan mereka bagi pasaran China.
Terdahulu pada Ogos 2025, SAIC Audi telah melancarkan A5L Sportback, menjadikannya kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) pertama di dunia yang disepadukan dengan teknologi Huawei.
Walaupun penyepaduan sistem autopilot atau pemanduan separa autonomi ke dalam kenderaan melibatkan kos yang tinggi, namun faktor ekonomi skala dan limpahan teknologi telah menyebabkannya semakin biasa ditemui pada kenderaan dalam skala harga yang lebih rendah.
Tahun ini, Huawei merancang untuk memperkenalkan sistem yang lebih kos-efektif merangkumi kamera dan sensor yang diperlukan untuk kereta pasaran massa yang berharga sekitar 150,000 yuan (~RM 90,000), yang dinamakan sebagai Qiankun ADS SE.
Pada tahun lepas, Huawei menduduki tempat kedua dalam pegangan pasaran China sebagai pembekal luar teknologi bantuan pemandu dengan perkongsian sebanyak 20%. Namun, angka tersebut masih jauh di belakang Momenta, pakar dalam teknologi ini, yang menguasai 60% segmen berkenaan.
Kita mungkin bakal melihat lebih banyak kereta yang dilengkapi dengan Qiankun ADS di jalan raya Malaysia pada tahun ini.




