Negara jiran kita, Indonesia, menjadi pasaran Asia Tenggara pertama yang menerima model terbaharu Honda Prelude 2026, susulan pelancaran globalnya di Jepun. Model ini dianggarkan bakal dijual pada harga di bawah IDR 1 bilion (~RM 236,000). Unit Prelude yang dipasarkan di Indonesia merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dan hanya tersedia dalam varian tunggal. Tempahan awal telah
Negara jiran kita, Indonesia, menjadi pasaran Asia Tenggara pertama yang menerima model terbaharu Honda Prelude 2026, susulan pelancaran globalnya di Jepun. Model ini dianggarkan bakal dijual pada harga di bawah IDR 1 bilion (~RM 236,000).
Unit Prelude yang dipasarkan di Indonesia merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dan hanya tersedia dalam varian tunggal. Tempahan awal telah pun dibuka beberapa hari lalu dan sekiranya tiada aral melintang, penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada Mei 2026.
Kebangkitan semula model ikonik ini menampilkan enjin 2.0 liter “naturally aspirated” kitaran Atkinson, enjin yang sama digunakan pada Civic Hybrid, dan dipadankan dengan sistem hibrid dwi-motor. Secara berasingan, enjin petrol tersebut menghasilkan 139 PS dan 177 Nm, manakala motor elektrik pula menyumbang 184 PS dan 315 Nm, menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 203 PS.
Bagi model Prelude ini, enjin petrol biasanya tidak memacu roda hadapan secara terus (kecuali pada kelajuan lebuh raya). Sebaliknya, sebahagian besar tujuan dihasilkan oleh motor elektrik yang dibantu oleh gear penurunan kelajuan tunggal (single-speed reduction gear). Motor elektrik kedua pula menerima kuasa daripada enjin petrol dan berfungsi sebagai penjana untuk mengecas bateri.
Model ini tidak dilengkapi kotak gear dalam pengertian tradisional. Sebaliknya, sistem S+ Shift daripada Honda bertindak mensimulasikan transmisi lapan kelajuan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.
Beberapa pihak menyifatkan Prelude sebagai gabungan antara Civic Hybrid dan Civic Type-R, memandangkan model Type-R menyumbang secara signifikan kepada aspek kualiti tunggangan dan pengendalian menerusi perkongsian sistem ampaian hadapan “dual-axis strut.” Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem stereng nisbah gear berubah-ubah, penyerap hentak adaptif, serta sistem brek Brembo yang besar di bahagian hadapan.
Pembeli di Indonesia ditawarkan dengan beberapa pilihan warna menarik, iaitu Rallye Red, Crystal Black Pearl, Moonlit White Pearl, dan Racing Blue Pearl.
Memandangkan Honda Malaysia sentiasa mempunyai hubungan erat dengan pihak prinsipal di Jepun, sehingga menjadikan Malaysia satu-satunya negara di luar Jepun yang menjual model FD2R Honda Civic Type-R suatu ketika dahulu, terdapat kebarangkalian besar Prelude akan turut dilancarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, faktor harga mungkin menjadi titik perdebatan, dengan jangkaan harga yang diletakkan sedikit di bawah RM 399,900 (harga bagi Civic Type-R).


