2026 Honda City facelift telah dilancarkan di Thailand. Ini merupakan facelift kedua untuk Honda City generasi semasa, dengan Thailand menjadi antara pasaran pertama di rantau ini yang menerima model segmen-B yang dikemas kini itu. Untuk pasaran Thailand, Honda City 2026 masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu enjin petrol 1.0 liter VTEC Turbo dan sistem
2026 Honda City facelift telah dilancarkan di Thailand. Ini merupakan facelift kedua untuk Honda City generasi semasa, dengan Thailand menjadi antara pasaran pertama di rantau ini yang menerima model segmen-B yang dikemas kini itu.
Untuk pasaran Thailand, Honda City 2026 masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu enjin petrol 1.0 liter VTEC Turbo dan sistem hibrid 1.5 liter e. Bagaimanapun, enjin turbo kini hanya ditawarkan pada varian asas S, manakala baki line-up terdiri daripada varian hibrid e.
Untuk versi sedan, harga bermula dari THB 569,000, bersamaan sekitar RM70k, bagi varian Turbo S. Varian baharu e V pula berharga THB 619,000, sekitar RM76k, diikuti e SV pada THB 689,000, sekitar RM85k, dan e RS pada THB 739,000, sekitar RM91k.
Versi hatchback pula membawa premium THB 10,000 merentasi semua varian. Ia bermula dari THB 579,000, sekitar RM71k, untuk Turbo S, diikuti e V pada THB 629,000, sekitar RM77k, e SV pada THB 699,000, sekitar RM86k, dan e RS pada THB 749,000, sekitar RM92k.
Seperti yang dilihat pada debutnya di India, facelift ini membawakan lampu utama projektor baharu, connecting LED light bar pada varian terpilih, gril hadapan rekaan baharu, bampar hadapan dan belakang baharu, rim aloi 16 inci rekaan baharu, logo Honda monokrom baharu serta lampu belakang smoked clear-lens.
Varian e RS mendapat gril gloss black, bampar hadapan dan belakang gaya RS, side skirt, rear skirt dan spoiler belakang gaya RS, bersama rim aloi 16 inci dua tona berwarna dark grey. Varian e SV turut menerima connecting LED light bar dan lampu belakang clear-lens LED, manakala varian lebih rendah hadir dengan kemasan luaran yang lebih ringkas.
Di dalam, Honda City facelift 2026 menerima sistem infotainment yang dikemas kini, bergantung kepada varian. Varian S dan e V mendapat skrin sentuh 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala e SV dan e RS menerima skrin Advanced Touch lebih besar bersaiz 10 inci, juga dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Pembahagian kelengkapan antara varian juga agak jelas. Varian baharu e V menambah ciri seperti paparan 7 inci, brek parkir elektrik, Auto Brake Hold, Walk Away Auto Lock, remote engine start, Honda Smart Key System dan deceleration paddle selectors pada stereng.
Naik ke varian e SV, ia menambah skrin sentuh 10 inci, ambient lighting biru, pendingin hawa automatik, corong pendingin hawa belakang, upholsteri kulit dan kulit sintetik, dua port USB-A di hadapan, dua port USB-C di belakang serta sistem kamera 360 darjah.
Varian e RS kekal sebagai varian paling lengkap, dengan tambahan upholsteri kulit dan kulit sintetik hitam bersama jahitan merah, ambient lighting merah, paparan instrumen 7 inci gaya RS, pengelap cermin dengan sensor hujan, cermin pandang belakang auto-dimming, pengecas telefon tanpa wayar, lapan pembesar suara, Honda LaneWatch dan enam beg udara. Varian lain menerima empat beg udara.
Enjin 1.0 liter VTEC Turbo kekal tidak berubah, menghasilkan 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan pacuan roda hadapan.
Sementara itu, sistem e menggunakan enjin petrol 1.5 liter empat silinder Atkinson-cycle yang dipadankan dengan sistem hibrid dua motor Honda. Enjin petrol tersebut menghasilkan 98 PS dari 5,600 hingga 6,400 rpm dan 127 Nm dari 4,500 hingga 5,000 rpm, manakala motor elektrik pula menghasilkan 109 PS dari 3,500 hingga 8,000 rpm dan 253 Nm dari 0 hingga 3,000 rpm.
Kuasa disalurkan melalui transmisi e-CVT, dengan pecutan 0-100 km/j didakwa mengambil masa 9.4 saat.
Menurut brosur Honda Thailand, City sedan berukuran 4,577 mm panjang untuk varian S, e V dan e SV, manakala e RS sedikit lebih panjang pada 4,594 mm disebabkan rekaan bamparnya. Lebar ialah 1,748 mm, manakala ketinggian disenaraikan pada 1,467 mm untuk varian S dan 1,480 mm untuk varian e. Jarak roda kekal 2,589 mm merentasi semua varian.
Bagi City Hatchback, badannya berukuran 4,369 mm panjang, 1,748 mm lebar dan 1,501 mm tinggi, dengan jarak roda sama iaitu 2,589 mm. Jarak lega tanah disenaraikan pada 147 mm, manakala kapasiti tangki bahan api ialah 40 liter.
Honda Sensing kekal sebagai sebahagian daripada pakej keselamatan merentasi semua varian. Sistem ini merangkumi Collision Mitigation Braking System, Lane Keeping Assist, Road Departure Mitigation dengan Lane Departure Warning, Auto High Beam, Adaptive Cruise Control dan Lead Car Departure Notification.
Untuk varian e, Adaptive Cruise Control turut merangkumi fungsi Low Speed Follow. Bergantung kepada varian, City juga menerima Honda LaneWatch, sistem kamera 360 darjah dan kamera undur dengan tiga sudut pandangan.
Setakat ini, masih belum ada maklumat mengenai bila Honda City facelift 2026 akan tiba di Malaysia. Honda City semasa di Malaysia kini berharga dari RM84,900 hingga RM99,900 untuk varian petrol, manakala City e RS pula berharga RM111,900.





