Jenama Kia telah bertapak di Malaysia selama hampir tiga dekad, namun perjalanan bagi jenama Korea ini tidak selalunya lancar berikutan beberapa siri pertukaran pemegang francais yang menyebabkan ketidakstabilan pengurusan. Segalanya bakal berubah melalui rombakan besar jenama tersebut oleh pihak Kia sendiri, di bawah naungan Kia Sales Malaysia (KSM) Keutamaan tertinggi buat masa ini adalah untuk
Jenama Kia telah bertapak di Malaysia selama hampir tiga dekad, namun perjalanan bagi jenama Korea ini tidak selalunya lancar berikutan beberapa siri pertukaran pemegang francais yang menyebabkan ketidakstabilan pengurusan. Segalanya bakal berubah melalui rombakan besar jenama tersebut oleh pihak Kia sendiri, di bawah naungan Kia Sales Malaysia (KSM)
Keutamaan tertinggi buat masa ini adalah untuk membina semula kepercayaan dan menanam keyakinan pasaran dalam kalangan pemandu di Malaysia. Inisiatif awal bagi mencapai matlamat ini adalah strategi harga baharu bagi portfolio produk sedia ada, program kesetiaan, insurans berjenama Kia, serta insentif korporat.
“Tahun baharu menandakan permulaan baharu buat Kia. Kami berbangga untuk memulakan perjalanan membina semula jenama Kia secara rasmi melalui Syarikat Jualan Nasional yang berdiri sendiri di Malaysia. Kami ingin memberi jaminan kepada para peminat bahawa Kia akan terus kekal di sini, dan keutamaan kami adalah menjaga pelanggan serta memberi inspirasi kepada kemajuan melalui penyelesaian mobiliti inovatif kami,” tegas Presiden dan CEO Kia Sales Malaysia Sdn Bhd, Hyung Ho Kim.
Menyokong usaha tersebut adalah penilaian semula strategi harga mereka. Berkuat kuasa 1 Januari 2026, rangkaian model Kia Sportage dan Carnival menyaksikan pengurangan harga bagi meningkatkan daya saing dalam segmen SUV dan MPV yang sengit di Malaysia. Langkah ini menyaksikan rangkaian Kia Sportage bermula daripada hanya RM128,000 dengan perincian harga lain adalah seperti berikut:
- Kia Sportage 2.0G 2WD – RM129,639.10 (pengurangan RM17,579.50)
- Kia Sportage 2.0G 2WD HI – RM139,639.10 (pengurangan RM15,579.50)
- Kia Sportage 1.6T 2WD HI – RM159,320 (pengurangan RM17,579)
- Kia Sportage 1.6T 4WD HI – RM179,320 (pengurangan RM7,579)
- Kia Carnival 8-tempat duduk – RM193,860.80 (pengurangan RM52,027)
- Kia Carnival 7-tempat duduk – RM218,960.80 (pengurangan RM40,927)
- Kia EV9 7-tempat duduk AWD – RM370,183 (tiada perubahan)
- Kia EV9 6-tempat duduk AWD – RM375,183 (tiada perubahan)
Bagi memberikan ketenangan minda kepada pelanggan, perlindungan waranti dan polisi penggantian alat ganti untuk kenderaan baharu Kia yang dijual di Malaysia adalah sah selama lima tahun atau 150,000KM, mengikut mana-mana yang terdahulu.
Untuk memastikan kenderaan Kia anda berfungsi dengan sempurna, KSM turut memperkenalkan pengurangan harga bagi alat ganti tulen Kia dengan purata diskaun sebanyak 15%. Isu ketersediaan pula akan ditangani melalui gudang alat ganti khas yang terletak di Shah Alam, Selangor, bagi memastikan bekalan untuk aspek selepas jualan sentiasa mencukupi.
Membina kesetiaan pelanggan merupakan salah satu asas kejayaan jangka panjang. Justeru, KSM telah menubuhkan program kesetiaan “Kia Circle”. Program ini menawarkan rebat tunai sehingga RM6,000 apabila pemilik Kia sedia ada menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu, dan tawaran ini turut terpakai untuk ahli keluarga terdekat (ibu bapa, anak-anak dan pasangan).
Perlindungan insurans bagi kenderaan Kia baharu pula diuruskan di bawah program insurans “Kia Cares”, yang ditanggung jamin oleh Berjaya Sompo, Zurich, dan Zurich Takaful. Pemilik mempunyai pilihan untuk menyesuaikan perlindungan mereka dengan menambah manfaat tambahan mengikut keperluan individu.
Akhir sekali, KSM turut melancarkan program *Kia Professional* yang menawarkan konsesi eksklusif sehingga 3% bagi pembelian kenderaan individu untuk ahli badan profesional dan syarikat korporat utama.
Jika anda berminat untuk merasai pengalaman memandu model terbaharu Kia, layari laman web rasmi Kia Sales Malaysia di www.kia.com/my bermula 8 Januari 2026, atau kunjungi bilik pameran sah Kia yang berdekatan untuk melihat, memandu uji, atau membuat tempahan.



