Volvo telah mengeluarkan notis keselamatan global bagi model Volvo EX30 berikutan potensi risiko kebakaran pada bateri. Sehubungan itu, Volvo Car Malaysia (VCM) mengesahkan bahawa beberapa unit bagi varian “Single Motor Extended Range” dan “Twin Motor Performance” telah terjejas, khususnya bagi unit yang dikilangkan dan dijual antara tahun 2024 hingga 2025. Walau bagaimanapun, VCM menyatakan bahawa
Volvo telah mengeluarkan notis keselamatan global bagi model Volvo EX30 berikutan potensi risiko kebakaran pada bateri. Sehubungan itu, Volvo Car Malaysia (VCM) mengesahkan bahawa beberapa unit bagi varian “Single Motor Extended Range” dan “Twin Motor Performance” telah terjejas, khususnya bagi unit yang dikilangkan dan dijual antara tahun 2024 hingga 2025.
Walau bagaimanapun, VCM menyatakan bahawa bukan semua varian EX30 terlibat dalam notis tersebut.
Risiko kebakaran ini berpunca daripada kecacatan pada modul sel bateri yang boleh menyebabkan pemanasan melampau apabila tahap cas “State of Charge” adalah tinggi. Dalam situasi yang paling buruk, ia boleh menyebabkan kenderaan terbakar.
Meskipun jumlah kes yang dilaporkan adalah sangat rendah, iaitu hanya 0.02% daripada jumlah kenderaan yang dikenal pasti terjejas dan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan, langkah pencegahan keselamatan adalah amat perlu.
Oleh itu, Volvo amat menasihatkan para pemilik agar tidak mengecas bateri melebihi 70%. Selain itu, pemilik disarankan untuk mengurangkan had pengecasan bateri dalam tetapan kenderaan bagi mengelakkan pengecasan melebihi tahap SoC tersebut secara tidak sengaja.
Secara global, sekitar 34,000 unit tertakluk kepada notis amaran ini. Malangnya, Volvo masih belum mengenal pasti penyelesaian muktamad buat masa ini, namun akan mengumumkan proses panggil balik sebaik sahaja masalah tersebut dapat diperbaiki.
Secara keseluruhannya, isu ini tidak hanya terhad kepada Volvo, sebaliknya melibatkan semua kenderaan yang dilengkapi dengan bateri daripada pengeluar China, Sunwoda.
Bateri yang sama turut digunakan dalam model lain di bawah kumpulan Geely seperti Zeekr dan Smart. Status sama ada model-model ini turut terjejas masih belum dapat dipastikan.


