Menjelang pengenalan model e-POWER keduanya di Malaysia, Nissan Serena e-POWER Serba Baharu, Nissan Malaysia giat memperkukuh usaha bagi membantu pengguna tempatan memahami keunikan teknologi e-POWER. Menerusi kempen baharu bertemakan “Apa-e?”, jenama itu tampil dengan pendekatan yang segar dan mesra, bertujuan merungkai kekeliruan yang sering dikaitkan dengan teknologi automotif baharu serta menerangkannya dalam bentuk yang mudah
Teknologi e-POWER menandakan pendekatan berbeza dalam sistem pendorongan kenderaan. Walaupun menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan responsif seperti kenderaan elektrik, ia tidak memerlukan pengecasan luaran. Sebaliknya, enjin petrol berfungsi sepenuhnya sebagai penjana untuk menghasilkan tenaga elektrik, yang kemudiannya digunakan bagi mengecas bateri dan menggerakkan motor elektrik. Roda sentiasa dipacu oleh motor elektrik, memberikan tork serta-merta, operasi yang lebih senyap dan pemanduan yang lebih lancar, tanpa kebimbangan terhadap jarak pemanduan.
Kempen “Apa-e?” dilancarkan ketika keterujaan terhadap ketibaan Serena e-POWER semakin meningkat, sekali gus membina kesinambungan daripada pengenalan Nissan Kicks e-POWER pada Disember 2024, yang menjadi model pertama teknologi ini dipasarkan secara tempatan. Melalui kempen ini, Nissan Malaysia menggunakan gabungan saluran digital dan tradisional bagi mencapai khalayak yang lebih luas, termasuk media sosial dan radio, dengan penyampaian kandungan yang ringkas, bertenaga dan selari dengan citarasa rakyat Malaysia.
Inisiatif ini mencerminkan falsafah utama e-POWER, iaitu menggabungkan inovasi teknologi dengan kepraktisan penggunaan harian. Antara kelebihan yang diketengahkan termasuk kecekapan penggunaan bahan api, pelepasan ekzos yang lebih rendah berbanding kenderaan petrol konvensional, serta ciri-ciri seperti brek regeneratif dan pemanduan menggunakan satu pedal yang memudahkan pergerakan dalam trafik bandar. Faktor kos operasi yang lebih terkawal turut menjadikan teknologi ini relevan untuk keluarga dan pengguna bandar.
Orang ramai boleh mengikuti kandungan kempen “Apa-e?” menerusi saluran YouTube, Facebook, X dan TikTok Nissan Malaysia, manakala iklan radio akan disiarkan di stesen-stesen popular seperti ERA, Hitz, Lite, Hot FM dan MY. Kempen ini turut disokong dengan aktiviti di lapangan, apabila Nissan menjemput orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan e-POWER melalui sesi pandu uji hujung minggu di bilik pameran sah terpilih.
Sesi pandu uji ini akan diadakan secara berperingkat di seluruh negara, bermula pada 24 dan 25 Januari 2026 di wilayah tengah, utara, timur dan selatan, sebelum diteruskan pada 31 Januari dan 1 Februari 2026 di lokasi tambahan. Inisiatif ini bertujuan memberi bakal pelanggan pemahaman yang lebih jelas tentang cara e-POWER berfungsi dalam keadaan pemanduan sebenar, serta perbezaannya berbanding kenderaan petrol konvensional dan kenderaan elektrik sepenuhnya.
Dengan pelancaran Nissan Serena e-POWER Serba Baharu yang semakin hampir, mesej Nissan jelas dan konsisten. Melalui pendekatan komunikasi yang ringkas dan mudah difahami, jenama ini ingin menunjukkan bahawa pemanduan berasaskan elektrik tidak semestinya rumit atau membingungkan, dan teknologi e-POWER boleh menjadi langkah peralihan yang semula jadi untuk pemandu Malaysia yang mahukan pengalaman pemanduan yang lebih pintar, cekap dan menyeronokkan.

