Pengeluaran model Peugeot 408 pemasangan tempatan (CKD) di kilang Stellantis Gurun, Kedah kini melangkah ke fasa baharu dengan eksport model “fastback” bergaya tersebut ke pasaran ketiga di rantau ini, iaitu Taiwan. Kilang Gurun tersebut telah melalui proses penaiktarafan barisan pengeluaran, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus untuk penentuan ukuran “calibration” rangkaian kuasa serta pembangunan komponen
Pengeluaran model Peugeot 408 pemasangan tempatan (CKD) di kilang Stellantis Gurun, Kedah kini melangkah ke fasa baharu dengan eksport model “fastback” bergaya tersebut ke pasaran ketiga di rantau ini, iaitu Taiwan.
Kilang Gurun tersebut telah melalui proses penaiktarafan barisan pengeluaran, termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus untuk penentuan ukuran “calibration” rangkaian kuasa serta pembangunan komponen tempatan yang menelan kos sebanyak 1.5 juta Euro (kira-kira RM7 juta).
Taiwan merupakan pasaran ketiga yang menerima model buatan Malaysia ini, selepas Thailand pada tahun 2024 dan Kemboja pada 2025. Selain itu, beberapa pasaran tambahan di seluruh rantau Asia-Pasifik kini sedang dinilai untuk potensi eksport model 408 tersebut.
Peugeot 408 merupakan model pertama yang dilancarkan di bawah entiti Stellantis Malaysia. Ia menampilkan estetika rekaan yang diubah suai sepenuhnya serta dilengkapi dengan kejuruteraan dan teknologi canggih.
Stellantis telah lama meletakkan kilang Gurun sebagai titik utama dalam rancangan pengembangan serantaunya dengan berfungsi sebagai hab eksport. Kumpulan tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran secara berperingkat dengan sasaran untuk mencapai kapasiti penuh bagi mengeksport 280,000 unit ke 20 buah negara di seluruh rantau Asia-Pasifik menjelang tahun 2028.
Pertumbuhan ini disokong oleh strategi yang ditetapkan agar kilang Gurun dapat menampung pembuatan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV).
Antara usaha yang dijalankan termasuklah pemasangan tempatan kenderaan elektrik Leapmotor, bermula dengan model Leapmotor C10.
“Visi kami untuk mentransformasikan Gurun sebagai pemacu utama serantau kini mula membuahkan hasil, disokong oleh pelaburan strategik untuk menaik taraf fasiliti penting ini bagi pengeluaran tempatan dan eksport. Perkembangan terbaharu ini menegaskan komitmen kami untuk meningkatkan hasil pengeluaran di Malaysia sambil memperluaskan rangkaian jenama dan model dalam portfolio Stellantis bagi memenuhi pelbagai keperluan di rantau ini,” kata Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis Asean.


