Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mencatatkan lebih daripada 1,000 tempahan bagi model Mitsubishi Xforce baharu dalam tempoh seminggu sejak fasa pra-pelancaran dan tempahan bermula. Susulan sambutan yang amat memberangsangkan terhadap model ini, MMM kini melanjutkan pakej eksklusif “early bird” untuk 1,000 pelanggan seterusnya yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi pada April 2026. Pakej tersebut merangkumi:
Pakej tersebut merangkumi:
- Rebat tunai sebanyak RM5,000
- Tiga kali servis upah percuma
- Penyertaan dalam peraduan ‘Beli 1 Percuma 1’ dengan sebuah Xforce sebagai hadiah utama
Xforce merupakan sebuah SUV kompak serba boleh yang dilengkapi dengan empat mod pemanduan, sistem “Active Yaw Control” (AYC) daripada Mitsubishi, serta jarak kelegaan tanah setinggi 222mm yang terbaik dalam kelasnya.
Di bahagian dalam, Xforce menawarkan ruang kabin yang luas dengan ciri “wireless” Android Auto dan Apple CarPlay, tempat duduk belakang dengan lapan tahap sandaran, sistem bunyi Yamaha, paparan skrin sentuh 12.3 inci, serta sistem penyaman udara dwi-zon.
Selain itu, Xforce turut dilengkapi dengan ciri-ciri kemudahan seperti but kuasa dengan penderia kaki (kick motion), 23 ruang penyimpanan, kotak penyejuk tengah, dan Mitsubishi Motors Safety Sensing (ADAS).
“Kami amat berterima kasih atas sambutan luar biasa terhadap Mitsubishi Xforce. Pencapaian melebihi 1,000 tempahan dalam masa satu minggu sahaja adalah bukti kukuh terhadap keyakinan rakyat Malaysia kepada jenama kami dan SUV baharu yang mengujakan ini,” kata Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.
“Kami juga yakin bahawa rangkaian pengedar kami di seluruh negara telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lancar, bermula daripada tempahan sehinggalah sokongan selepas jualan. Dengan pemasangan tempatan (CKD) bagi model Xforce ini, ia membuktikan lagi komitmen jangka panjang kami terhadap pasaran Malaysia,” tambah beliau.
Mitsubishi Xforce ditawarkan dalam dua varian, iaitu Urban dan Ultimate. Harga anggaran bermula daripada RM110,000 bagi varian Urban dan RM120,000 bagi varian Ultimate. Butiran penuh, termasuk harga rasmi, akan diumumkan semasa pelancaran rasmi pada April 2026.


