Mungkin ini merupakan titik perubahan bagi kenderaan moden yang menempatkan hampir kesemua kawalan dan fungsi di dalam skrin sentuh sistem hiburan sehingga ia menjadi gangguan berbahaya semasa memandu. Bagi menangani isu ini, China telah mengambil langkah untuk mewajibkan kawalan fizikal bagi fungsi tertentu di dalam kenderaan. Malah, terdapat istilah khusus untuk fenomena ini, iaitu “penggerudian
Langkah ini menyusul sejurus selepas negara tersebut bergerak untuk mengaramkan pemegang pintu jenis rata (flush) atau tersembunyi, diikuti dengan larangan penggunaan stereng separuh atau stereng jenis yoke.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), badan yang sama di sebalik tindakan terhadap pemegang pintu dan stereng separuh tersebut.
Ini menandakan satu keputusan penting bagi industri automotif global memandangkan Euro NCAP juga telah melaksanakan keputusan serupa, di mana badan ujian perlanggaran tersebut akan menolak mata bagi kenderaan yang kekurangan kawalan fizikal. Bagi membolehkan sesebuah model berpeluang mendapat penarafan lima bintang tertinggi, ia perlu mempunyai butang fizikal bagi fungsi-fungsi tertentu.
Berkuat kuasa 1 Julai 2027, semua kereta baharu yang dijual di China diwajibkan mempunyai kawalan fizikal bagi lampu isyarat, suis untuk menaik atau menurunkan tingkap, serta butang untuk mengaktifkan atau menyahaktifkan teknologi bantuan pemandu canggih (ADAS).
Selain itu, peraturan tersebut menetapkan bahawa kawalan fizikal mestilah mudah dicapai dan sebahagian besarnya boleh dikendalikan secara “buta” (boleh dikendalikan tanpa melihat) bagi mengurangkan gangguan semasa memandu.
Pengeluar kereta China sebelum ini memulakan penyingkiran kawalan fizikal secara besar-besaran dengan menyembunyikan segala-galanya di dalam skrin sentuh tanpa peraturan yang jelas tentang tahap akses fungsi-fungsi utama. Perkara ini telah menarik kritikan meluas daripada pakar keselamatan.
Beberapa badan tertentu juga telah menyatakan bahawa mereka mungkin akan mendesak MIIT untuk mewajibkan suis fizikal bagi lampu amaran bahaya dan hon, di samping melarang penukaran gear yang hanya menggunakan skrin. Ini mungkin berkembang merangkumi pengelap cermin, penyahkabur, suis hidup/mati enjin, dan perkhidmatan panggilan kecemasan.
Adalah dipercayai bahawa kumpulan penyelidik akan mendesak badan kawal selia untuk menetapkan bahawa butang fizikal mestilah mempunyai kawasan operasi minimum melebihi 1sm x 1sm, selain mempunyai maklum balas haptik dan kebolehan operasi tanpa melihat, serta kekal berfungsi walaupun sistem hiburan mengalami kegagalan fungsi.
Memandangkan Eropah telah melakukan perkara yang sama, langkah ini berkemungkinan besar akan mendorong banyak pengeluar kereta, terutamanya jenama Amerika, untuk merombak semula reka bentuk dalaman bagi memenuhi keperluan baharu ini.
Salah satu pengeluar kereta yang telah menyatakan peralihan ke arah butang fizikal ialah Polestar. Semasa pengumuman empat model baharu menjelang akhir 2028, jenama tersebut menyatakan model-model baharu akan menerapkan lebih banyak identiti dan mengurangkan ciri minimalis Scandinavia yang menjadi imej mereka selama ini.
Ini bermakna butang perisian akan dikurangkan dan lebih banyak perkakasan seperti butang fizikal atau tangkai suis akan digunakan. Walau bagaimanapun, pengeluar tersebut akan terus menggunakan sistem operasi Android Automotive Google sambil menerapkan lebih banyak ciri peribadi untuk pengguna.
Model Polestar semasa menempatkan sebahagian besar butang di dalam skrin sentuh hiburan pusat dan butang fizikal pada stereng dengan dail berputar untuk kawalan kelantangan suara.




