Amalan berisiko oleh pengeluar kereta yang menanam hampir kesemua kawalan dan fungsi di dalam skrin sentuh infotainment, termasuk fungsi-fungsi penting, telah menimbulkan kebimbangan keselamatan berkaitan gangguan tumpuan pemandu. Rentetan itu, perkara ini telah mempengaruhi keutamaan dalam penarafan keselamatan kereta, menyaksikan Mazda kini menerajui carta tersebut dan mengatasi Volvo. Menurut organisasi bukan untung Amerika Syarikat, “Consumer
Amalan berisiko oleh pengeluar kereta yang menanam hampir kesemua kawalan dan fungsi di dalam skrin sentuh infotainment, termasuk fungsi-fungsi penting, telah menimbulkan kebimbangan keselamatan berkaitan gangguan tumpuan pemandu. Rentetan itu, perkara ini telah mempengaruhi keutamaan dalam penarafan keselamatan kereta, menyaksikan Mazda kini menerajui carta tersebut dan mengatasi Volvo.
Menurut organisasi bukan untung Amerika Syarikat, “Consumer Reports” (CR), mereka telah menyusun kedudukan keselamatan keseluruhan pengeluar kereta melampaui ujian perlanggaran biasa. Sebaliknya, mereka turut mengambil kira faktor lain seperti tahap gangguan tumpuan semasa mengendalikan fungsi tertentu ketika memandu.
Walaupun Volvo telah lama sinonim dengan aspek keselamatan, pendekatan baharu ini menyaksikan Mazda mendaki takhta sebagai peneraju dalam kategori keselamatan.
Keputusan tersebut amat mengejutkan. Model-model di bawah rangkaian sesebuah jenama dinilai berdasarkan teknologi keselamatan aktif (ADAS), perlindungan penumpang, kerentanan pengguna jalan raya dalam perlanggaran, pengendalian, serta sejauh mana kawalan tertentu mengganggu tumpuan pemandu daripada jalan raya.
Mazda menduduki tempat teratas dengan lebih 80% modelnya memperoleh penarafan ‘terbaik’ yang menjadi idaman. Manakala, hanya 25% daripada model Volvo memperoleh penarafan yang sama, di mana CR menyatakan prestasi yang kurang memberangsangkan itu berpunca daripada ‘kawalan yang mengganggu tumpuan.’ Model Volvo EX30 mencatatkan skor terendah.
Sekiranya fungsi mudah seperti melaras kawalan suhu atau audio mengalihkan perhatian pemandu daripada jalan raya di hadapan, ia akan dianggap sebagai satu kelemahan dari sudut keselamatan.
Model terlaris Mazda, iaitu CX-5, tidak lagi dilengkapi dengan kawalan infotainment jenis putar yang menjadi identiti jenama tersebut, malah turut membuang kawalan suhu fizikal. Namun begitu, pengeluar kereta tersebut menegaskan bahawa mereka tetap fokus dalam meminimumkan gangguan terhadap pemandu.
Mengekori rapat Mazda di tempat kedua ialah Genesis, diikuti oleh Acura. Jenama terkemuka lain dalam senarai 10 teratas termasuk Hyundai, Honda, Nissan, Audi, dan Kia. Di manakah kedudukan Volvo? Jenama Sweden tersebut sekadar menduduki tempat ke-12 dalam senarai, namun masih mengatasi Toyota, Lexus, Mercedes-Benz, dan BMW.
Malah, Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) telah memperkenalkan protokol ujian baharu bermula tahun 2026 yang merangkumi penilaian sama ada sesebuah kenderaan mempunyai butang fizikal atau tidak.
Nampaknya, era “touchscreen drilling,” istilah yang digunakan untuk menggambarkan fungsi yang tersembunyi di dalam skrin infotainment, bakal berakhir. China kini mula beralih semula kepada penggunaan butang fizikal bagi kawalan penting seperti hon, lampu isyarat, lampu kecemasan, pengelap cermin, dan lampu hadapan.


