Memandangkan pengaruh China dalam dunia automotif terus membentuk hala tuju kawal selia, perkembangan terbaru ini wajar diperhatikan. Mahkamah tertinggi di sana telah memutuskan bahawa pemandu dalam kenderaan yang menggunakan teknologi bantuan pemanduan tetap akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan. Pengeluar kereta dan syarikat teknologi China telah melabur berbilion ringgit ke dalam teknologi autonomi, namun keputusan terbaru
Memandangkan pengaruh China dalam dunia automotif terus membentuk hala tuju kawal selia, perkembangan terbaru ini wajar diperhatikan. Mahkamah tertinggi di sana telah memutuskan bahawa pemandu dalam kenderaan yang menggunakan teknologi bantuan pemanduan tetap akan bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan.
Pengeluar kereta dan syarikat teknologi China telah melabur berbilion ringgit ke dalam teknologi autonomi, namun keputusan terbaru mahkamah untuk memperketatkan peraturan berkaitan perkara ini boleh memberikan impak yang besar.
Dalam mengumumkan keputusan tersebut, mahkamah menyatakan bahawa pemandu masih bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan jalan raya walaupun bantuan pemanduan autonomi telah diaktifkan.
Kes yang dirujuk melibatkan seorang lelaki yang bergantung sepenuhnya kepada teknologi autonomi untuk pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan tidur di dalam kenderaan. Dalam senario ini, pemandu tersebut telah memasang peranti untuk meniru genggaman tangan pada stereng, memandangkan kebanyakan teknologi autonomi akan dinyahaktifkan sekiranya tidak mengesan sebarang input atau maklum balas daripada stereng. Beliau kemudiannya bertindak tidur di tempat duduk penumpang.
“Sistem bantuan pemanduan di dalam kenderaan tidak boleh menggantikan pemandu sebagai subjek pemanduan utama,” lapor mahkamah dalam penghakiman tersebut.
Mahkamah selanjutnya menetapkan bahawa pada akhirnya, pemandu “tetap merupakan individu yang melaksanakan tugas pemanduan secara sebenar dan memikul tanggungjawab untuk memastikan keselamatan pemanduan.”
Walaupun pengeluar kereta telah lama memberikan penjelasan melalui penafian bahawa pemandu masih mengawal kenderaan walaupun dengan teknologi autonomi atau pemanduan kendiri ini, keputusan mahkamah tersebut menetapkan preseden perundangan di negara itu dan mungkin juga di peringkat global. Selain itu, mahkamah bawahan kini akan merujuk kepada kes khusus ini dalam memberikan penghakiman pada masa hadapan.
Sebelum ini, Beijing telah memberi amaran kepada pengeluar kereta bahawa peraturan mengenai perkara ini akan dikuatkuasakan dengan ketat susulan satu kemalangan yang meragut tiga nyawa, sekali gus menimbulkan kebimbangan keselamatan terhadap pengiklanan berkaitan pemanduan autonomi.
Keputusan ini menyusuli langkah China yang mengharamkan penggunaan pemegang pintu tersembunyi dan stereng jenis separuh atau stereng “yoke.”


