Mitsubishi Motors Malaysia telah memperkenalkan Mitsubishi Triton Championship Edition 2026, sebuah varian edisi khas yang meraikan kemenangan jenama itu dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025. Edisi khas ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Triton AT Premium Championship Edition dan Triton Athlete Championship Edition. Kedua-duanya dijual pada harga RM 10,000 lebih tinggi berbanding model standard
Mitsubishi Motors Malaysia telah memperkenalkan Mitsubishi Triton Championship Edition 2026, sebuah varian edisi khas yang meraikan kemenangan jenama itu dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025.
Edisi khas ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Triton AT Premium Championship Edition dan Triton Athlete Championship Edition. Kedua-duanya dijual pada harga RM 10,000 lebih tinggi berbanding model standard masing-masing dan akan mula ditawarkan di Malaysia bermula 11 Mac 2026, terhad kepada 270 unit.
Harga adalah seperti berikut:
- Triton AT Premium Championship Edition – RM 155,980
- Triton Athlete Championship Edition – RM 169,980
Triton Athlete Championship Edition dihadkan kepada 150 unit dan hadir secara eksklusif dalam warna Jet Black Mica. Penambahbaikan luaran termasuk pelekat badan bertema rali serta tayar all-terrain. Di bahagian dalaman, varian ini menerima sarung kepala tempat duduk bertema Championship Edition serta sistem infotainmen sembilan inci dengan kamera All-Round Monitor.
Sementara itu, Triton AT Premium Championship Edition dihadkan kepada 120 unit dan hanya ditawarkan dalam warna White Diamond. Tambahan kelengkapan bagi varian ini termasuk rim sukan hitam bersaiz 18 inci, styling bar, kemasan bampar bawah hadapan serta pelekat badan khas Championship Edition. Bahagian dalaman turut menerima sarung kepala tempat duduk bertema khas.
Pelanggan yang membuat tempahan bagi mana-mana varian juga akan menerima sarung kunci eksklusif serta set pelekat bertemakan motorsport.
Spesifikasi mekanikal kekal sama seperti model Triton standard. Triton AT Premium Championship Edition menggunakan enjin turbodiesel 2.4 liter yang menghasilkan 184 PS dan 430 Nm tork. Triton Athlete Championship Edition pula menggunakan enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dua peringkat yang menghasilkan 204 PS dan 470 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menyalurkan kuasa ke keempat-empat roda.
Varian Athlete dilengkapi sistem Super Select 4WD-II yang membolehkan pemandu memilih mod 2H (pacuan roda belakang), 4H (pacuan empat roda sepenuh masa), 4HLc (differential tengah dikunci) dan 4LLc (differential tengah dikunci dengan gear rendah).
Ciri keselamatan bagi Triton Athlete termasuk sistem bantuan pemandu Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS) yang merangkumi Forward Collision Mitigation, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control dan Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist.


