Volkswagen telah mengesahkan bahawa Volkswagen Golf generasi kesembilan akan membuat debut pada tahun 2028 dengan gabungan rangkaian kuasa kenderaan elektrik bateri (BEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE). Kini, lakaran ringkas profil sisi hatchback tersebut telah diperlihatkan. Imej tersebut dikongsi oleh Autocar melalui ihsan IG Metall, iaitu kesatuan sekerja terbesar di Jerman serta kesatuan industri terbesar
Volkswagen telah mengesahkan bahawa Volkswagen Golf generasi kesembilan akan membuat debut pada tahun 2028 dengan gabungan rangkaian kuasa kenderaan elektrik bateri (BEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE). Kini, lakaran ringkas profil sisi hatchback tersebut telah diperlihatkan.
Imej tersebut dikongsi oleh Autocar melalui ihsan IG Metall, iaitu kesatuan sekerja terbesar di Jerman serta kesatuan industri terbesar di Eropah yang mewakili kira-kira 2.2 juta pekerja.
Model Golf mempunyai sejarah yang mendalam di kilang Wolfsburg milik Volkswagen. Imej tersebut dipertontonkan semasa mesyuarat pengeluar kenderaan itu bagi memperkukuh komitmen mereka terhadap kilang berkenaan, yang akan meneruskan tradisi pengeluaran hatchback baharu itu.
Volkswagen akan menggunakan seni bina SSP untuk Golf baharu ini, dengan rekaan yang diinspirasikan oleh elemen tertentu daripada ID. Polo dan ID. Selain itu, generasi Golf terdahulu juga akan memberikan pengaruh besar terhadap rupa paras akhirnya.
Malah, Ketua Pereka Kumpulan Volkswagen, Andreas Mindt, secara khusus menyebut tentang Golf Mk7 dan menyifatkannya sebagai sebuah karya agung yang berjaya menggabungkan semua elemen terbaik Golf sepanjang tempoh hayatnya, namun tetap kelihatan segar.
Menyentuh mengenai salah satu rungutan utama terhadap Golf Mk8, Mindt menyatakan bahawa Golf baharu akan kembali menggunakan kawalan fizikal bagi fungsi utama seperti penyaman udara dan kelantangan bunyi.
Varian ICE bagi Golf baharu ini sebenarnya merupakan versi yang telah dikemas kini secara menyeluruh daripada model Golf Mk8 sedia ada, termasuk unit enjinnya. Hanya varian BEV yang akan dibina sepenuhnya baharu dengan menampilkan seni bina 800V. Ia juga bakal dilengkapi bateri yang lebih maju untuk jarak gerak yang dioptimumkan serta masa pengecasan yang lebih pantas, dan berkemungkinan besar akan dinamakan sebagai ID Golf.
Akhir sekali, seni bina SSP untuk Golf Mk9 ini akan dibangunkan bersama perisian oleh Rivian, bagi memberikan fleksibiliti yang lebih tinggi terhadap perkakasannya untuk akses kemas kini OTA.


