Korea Selatan akan mengehadkan harga minyak domestik buat kali pertama dalam hampir 30 tahun bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah. Presiden Lee Jae Myung mengumumkan langkah tersebut dalam satu mesyuarat kecemasan mengenai kesan krisis Timur Tengah terhadap ekonomi negara itu. Menurut laporan Reuters, kerajaan akan memperkenalkan
Korea Selatan akan mengehadkan harga minyak domestik buat kali pertama dalam hampir 30 tahun bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global susulan konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Presiden Lee Jae Myung mengumumkan langkah tersebut dalam satu mesyuarat kecemasan mengenai kesan krisis Timur Tengah terhadap ekonomi negara itu. Menurut laporan Reuters, kerajaan akan memperkenalkan sistem harga maksimum bagi produk petroleum yang baru-baru ini menyaksikan peningkatan harga yang ketara.
Langkah tersebut bertujuan mengurangkan tekanan terhadap ekonomi Korea Selatan yang sangat bergantung kepada perdagangan global dan import tenaga, terutamanya dari Timur Tengah. “Krisis semasa merupakan satu beban besar kepada ekonomi kami yang sangat bergantung kepada perdagangan global dan import tenaga dari Timur Tengah,” kata Lee.
Langkah ini dibuat ketika harga minyak mentah global melonjak berikutan ketegangan geopolitik di rantau tersebut, yang menimbulkan kebimbangan mengenai potensi gangguan kepada penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, laluan penting yang mengendalikan kira-kira 20% bekalan minyak dunia. Lee turut berkata kerajaan akan mencari sumber tenaga alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan yang melalui laluan tersebut.
Selain itu, Korea Selatan juga mungkin memperluaskan program penstabilan pasaran bernilai 100 trilion won (RM264 bilion) sekiranya ketidaktentuan kewangan semakin meningkat. Kerajaan dan bank pusat negara itu turut diminta menyediakan langkah tambahan bagi menstabilkan pasaran kewangan dan pertukaran asing.
Pasaran Korea Selatan bertindak balas dengan ketara terhadap perkembangan tersebut. Indeks saham penanda aras negara itu jatuh 8% pada Isnin, sekali gus mengaktifkan mekanisme circuit breaker buat kali kedua bulan ini. Mata wang won juga susut lebih daripada 1%, menghampiri paras psikologi 1,500 won bagi setiap dolar AS sebelum pulih sedikit.
