Kita lebih mengenalinya sebagai CATL yang mengeluarkan sebahagian besar bateri untuk kenderaan elektrik (EV), namun mengikut nama rasminya, Contemporary Amperex Technology Ltd. (CATL) baru sahaja mencatatkan rekod sembilan tahun berturut-turut sebagai pembuat bateri EV terkemuka dunia, di samping mencapai pegangan pasaran global tertinggi dalam sejarah syarikat. Syarikat tersebut melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 42% bagi
Kita lebih mengenalinya sebagai CATL yang mengeluarkan sebahagian besar bateri untuk kenderaan elektrik (EV), namun mengikut nama rasminya, Contemporary Amperex Technology Ltd. (CATL) baru sahaja mencatatkan rekod sembilan tahun berturut-turut sebagai pembuat bateri EV terkemuka dunia, di samping mencapai pegangan pasaran global tertinggi dalam sejarah syarikat.
Syarikat tersebut melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 42% bagi tahun 2025, berjumlah 72.2 bilion yuan (~RM 41 bilion). Berdasarkan fail yang dikemukakan kepada Bursa Saham Shenzhen, jualan bateri litium-ion miliknya meningkat sebanyak 39% berbanding tahun 2024 kepada 661 gigawatt jam (GWh). Pencapaian ini dicapai ketika pengeluar kereta China mencatatkan peningkatan jualan EV sebanyak 30% tahun ke tahun dengan jumlah melebihi 16 million unit.
“Daripada menguasai asas sehingga mencapai terobosan inovatif, dan daripada produk kepada perkhidmatan dan seterusnya membina ekosistem, kami terus memperluas sempadan aplikasi pengelektrikan. Produk kami kini berkembang daripada kenderaan penumpang kepada kenderaan komersial, kapal elektrik, penerbangan elektrik dan bidang-bidang lain,” kata pengerusi CATL, Zeng Yuqun.
Dalam perkembangan lain, CATL sedang beralih ke perniagaan storan tenaga yang disokong oleh pertumbuhan kukuh dengan jualan mencecah 121 GWh, iaitu peningkatan sebanyak 29.13% tahun ke tahun. Syarikat itu terus memperluas penyelesaian dan perkhidmatan storan tenaga, sekaligus menerajui penghantaran bateri storan tenaga global untuk tahun kelima berturut-turut pada tahun 2025.
Selain sektor automotif, CATL kini meneroka sektor baharu lain yang mula bergantung kepada bateri, seperti sektor maritim, penerbangan, dan pusat data.
Walau bagaimanapun, CATL mencatatkan kerugian rosak nilai kira-kira 9 bilion yuan (~RM 5.1 bilion) pada tahun 2025, terutamanya disebabkan oleh susut nilai inventori dan kerugian rosak nilai aset jangka panjang. Kerugian tersebut mengakibatkan hapus kira berjumlah 8.3 bilion yuan (~RM 4.7 bilion) daripada keuntungan bersih yang dicatatkan.

