Walaupun Kumpulan Geely merupakan salah satu pemegang saham terbesar dalam Mercedes-Benz, kerjasama teknikal antara kedua-dua jenama tersebut setakat ini adalah sangat minimum. Namun, perkara itu mungkin bakal berubah susulan laporan yang menunjukkan pengeluar kereta Jerman tersebut sedang memanfaatkan teknologi dan seni bina Geely untuk membangunkan platform EV global baharunya. Laman web China, 36Kr, memetik sumber
Laman web China, 36Kr, memetik sumber yang menyatakan bahawa Mercedes-Benz akan memindahkan pembangunan platform EV baharunya ke China. Platform yang diberi nama kod Phoenix itu dikatakan bakal berasaskan Geely Electronic & Electrical Architecture (GEEA) 4.0.
Walau bagaimanapun, pengeluar kereta tersebut telah tampil menafikan dakwaan 36Kr melalui satu kenyataan pada hari Jumaat, dengan menegaskan bahawa “kerjasama yang diterangkan adalah rekaan dan tidak benar.”
Laporan itu mendakwa langkah ini akan menyaksikan Pusat R&D Mercedes-Benz China menjadi hab global bagi pembangunan kenderaan kompak, dengan Phoenix sebagai projek pertama di bawah hala tuju baharu tersebut.
Mercedes-Benz secara amnya sangat berahsia mengenai teknologi dan maklumat syarikat, namun langkah ini akan menandakan kali pertama dalam sejarah 130 tahun pengeluar mewah itu memberikan teraju pembangunan platform baharu kepada pasukan R&D di luar negara asalnya, Jerman.
Laporan itu selanjutnya menyebut bahawa Phoenix akan menjadi asas kepada model kompak global seperti A-, B- dan CLA-Class apabila ia memasuki fasa pengeluaran besar-besaran menjelang tahun 2030.
Sebab di sebalik langkah drastik ini adalah untuk mengurangkan kos. Laporan tersebut menambah bahawa penilaian dalaman dan data peleraian komponen (teardown) oleh Mercedes-Benz menunjukkan seni bina kenderaan Geely mampu memberikan kelebihan signifikan dalam mengekalkan kos yang rendah.
Mercedes-Benz kini berdepan tekanan hebat di China daripada jenama premium domestik. Tahun lalu, pengeluar itu mencatatkan jualan kira-kira 550,000 unit, iaitu penurunan drastik sebanyak 19% berbanding tahun 2024.
Selain itu, data awal rantaian bekalan menunjukkan unjuran volum tahunan bagi model pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2026 jatuh di bawah 500,000 unit, angka yang kali terakhir dicatatkan sedekad yang lalu.
Langkah ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan landskap automotif sedang mengalami peralihan besar yang menyaksikan pengeluar Eropah bekerjasama dengan jenama China untuk memanfaatkan kepantasan pembangunan EV dan rantaian bekalan di negara tersebut. Sebelum ini, Volkswagen telah bekerjasama dengan Xpeng, manakala Stellantis pula melabur dalam Leapmotor.



