Proton hari ini melancarkan 2026 Proton X90 MC1, kemas kini pertama bagi SUV tiga baris tempat duduk itu sejak ia diperkenalkan di Malaysia pada Mei 2023. Model yang dikemas kini ini hadir dengan enjin baharu, barisan varian yang dipermudahkan serta harga yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini. X90 MC1 kini ditawarkan dalam tiga varian,
Proton hari ini melancarkan 2026 Proton X90 MC1, kemas kini pertama bagi SUV tiga baris tempat duduk itu sejak ia diperkenalkan di Malaysia pada Mei 2023. Model yang dikemas kini ini hadir dengan enjin baharu, barisan varian yang dipermudahkan serta harga yang jauh lebih rendah berbanding sebelum ini.
X90 MC1 kini ditawarkan dalam tiga varian, dengan harga pelancaran selepas rebat seperti berikut (atas jalan tanpa insurans):
Proton X90 1.5TD Lite (7 tempat duduk) – RM 99,800
Proton X90 1.5TD Prime (7 tempat duduk) – RM 109,800
Proton X90 1.5TD Prime X (6 tempat duduk) – RM 115,800
Dengan harga baharu ini, X90 kini sehingga RM37,000 lebih murah berbanding model sebelum ini yang pernah dijual sehingga RM152,800 bagi varian tertinggi.
Bersama pelancaran ini, Proton turut memperkenalkan beberapa pakej pemilikan di bawah program Pro Series, termasuk Pro-Warranty yang menawarkan jaminan kenderaan lima tahun tanpa had perbatuan serta lima tahun caj buruh percuma.
Program Pro-Finance pula menyediakan pembiayaan sehingga sembilan tahun dengan kadar faedah bermula dari 1.95% setahun, manakala Pro-Xchange dan Pro-Trade-In menawarkan sokongan tukar beli dengan bantuan overtrade sehingga RM3,000. Turut diperkenalkan ialah Pro-Shield, program insurans yang dipertingkatkan dengan perlindungan tambahan termasuk bantuan banjir serta perlindungan kemalangan untuk pemandu dan penumpang.
Dari segi rekaan, X90 MC1 mengekalkan hampir sepenuhnya rupa model sebelum ini. Bahagian hadapan masih menampilkan gril krom pin signature Proton bersama lampu utama LED penuh serta lampu nyalaan siang berbentuk L. Dimensi SUV ini juga kekal sama, iaitu 4,835 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,785 mm tinggi, dengan jarak roda 2,815 mm.
Semua varian kini menggunakan rim aloi 18 inci, dengan pilihan rim 19 inci yang sebelum ini ditawarkan pada varian Flagship tidak lagi disediakan. Model kemas kini ini juga menukar jenama tayar daripada Continental EcoContact 6 kepada Giti Control P10.
Pilihan warna luaran kini terdiri daripada Quartz Black, Marine Blue, Armour Silver, Snow White dan Jet Grey, dengan Cinnamon Brown serta Ruby Red daripada model sebelumnya tidak lagi ditawarkan. Di bahagian dalaman, warna hitam merupakan satu-satunya pilihan, sama ada untuk kemasan leatherette atau Nappa leather bergantung kepada varian.
Perubahan paling ketara pada X90 MC1 terletak di bahagian enjin. SUV ini kini menggunakan enjin baharu BHE15-EFZ 1.5 liter i-GT turbo empat silinder, menggantikan enjin tiga silinder GEP3 1.5 liter turbo dengan sistem mild-hybrid 48 volt yang digunakan sebelum ini.
Enjin baharu ini menghasilkan 181 PS pada 5,500 rpm dan 290 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan yang telah ditentukur semula. Walaupun angka kuasa lebih rendah berbanding enjin lama yang menghasilkan 190 PS dan 300 Nm, enjin i-GT ini dijangka menawarkan penyelenggaraan yang lebih rendah, operasi lebih senyap serta tahap getaran yang lebih baik.
X90 MC1 turut mengekalkan suspensi belakang multi-link, yang dibangunkan oleh Proton dan ditala khusus untuk keadaan jalan raya Malaysia.
Di dalam kabin, susun atur asas kekal sama, namun terdapat beberapa peningkatan pada kelengkapan. Kemasan tempat duduk leatherette kini standard untuk semua varian, menggantikan tempat duduk fabrik yang sebelum ini digunakan pada varian asas.
Skrin infotainmen 12.3 inci juga dikekalkan dan kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar untuk semua varian. Ciri lain yang turut dikekalkan termasuk penyaman udara automatik dua zon dengan corong udara untuk semua baris tempat duduk, sistem penapisan udara G-Clean dengan penapis N95 serta tujuh port USB di seluruh kabin.
Ruang but juga tidak berubah, menawarkan 257 liter dengan semua tempat duduk digunakan, dan sehingga 2,050 liter apabila baris kedua dan ketiga dilipat.
Varian Lite mengekalkan kluster meter analog, manakala Prime dan Prime X menerima paparan instrumen digital 10.3 inci. Varian Prime turut menambah ciri seperti lampu utama automatik, pengelap cermin automatik, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam hala, kamera 360 darjah dengan paparan telus 180 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar serta sensor parkir hadapan.
Varian tertinggi Prime X hadir dengan konfigurasi enam tempat duduk 2-2-2 dengan kerusi kapten di baris kedua, selain kemasan Nappa leather, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat hala serta fungsi “boss switch” yang membolehkan kerusi hadapan digerakkan ke hadapan untuk memberi ruang kaki tambahan kepada penumpang baris kedua. Kerusi kapten baris kedua juga mengekalkan fungsi pengudaraan tempat duduk.
Beberapa ciri daripada model terdahulu bagaimanapun telah digugurkan selaras dengan penstrukturan semula harga. Ini termasuk bumbung panoramik, pengecas telefon tanpa wayar, pintu but berkuasa serta sambungan 4G/WiFi. Selain itu, sistem bantuan pemandu ADAS juga tidak lagi ditawarkan pada barisan X90 MC1.





