Aplikasi navigasi Google Maps bakal menerima kemas kini signifikan yang menggabungkan dua ciri utama bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna. Ciri pertama adalah navigasi imersif yang menambah ciri-ciri 3D terperinci, manakala yang kedua adalah integrasi pembantu AI Gemini yang membolehkan pemandu berinteraksi secara lisan dengan aplikasi tersebut. Google menyifatkan ini sebagai kemas kini paling penting bagi aplikasi tersebut
Aplikasi navigasi Google Maps bakal menerima kemas kini signifikan yang menggabungkan dua ciri utama bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna. Ciri pertama adalah navigasi imersif yang menambah ciri-ciri 3D terperinci, manakala yang kedua adalah integrasi pembantu AI Gemini yang membolehkan pemandu berinteraksi secara lisan dengan aplikasi tersebut.
Google menyifatkan ini sebagai kemas kini paling penting bagi aplikasi tersebut dalam tempoh sedekad, dan percaya ia akan membantu pemandu kekal fokus serta mendapat maklumat tepat di jalan raya.
Perincian 3D tersebut bukan sahaja merangkumi bangunan dan jejambat, malah turut melibatkan lintasan pejalan kaki, lorong trafik, lampu isyarat, dan papan tanda berhenti. Penambahan elemen 3D ini dijayakan dengan bantuan model AI Gemini Google yang menganalisis imejan dunia sebenar daripada Google Street View dan foto udara untuk membentuk paparan 3D tersebut.
Selain itu, ciri zum kini menjadi lebih ‘pintar’ dan paparan bangunan lutsinar akan menunjukkan lebih banyak laluan bagi menyediakan pemandu untuk langkah atau belokan seterusnya dengan lebih baik. Tambahan pula, panduan suara juga telah dipertingkatkan agar kedengaran lebih semula jadi, bertujuan meniru gaya seorang ‘rakan’ yang memberikan arahan jalan.
Maps turut menambah baik amaran masa nyata mengenai gangguan jalan raya, di mana laluan alternatif akan menyertakan perincian perbandingan, seperti jarak yang lebih jauh dengan kurang trafik atau jarak lebih dekat tetapi bertol.
Seterusnya, pemandu dapat memvisualisasikan destinasi mereka sebelum memulakan perjalanan melalui Street View, malah akan menerima cadangan tempat letak kereta. Maps akan menonjolkan bahagian sisi bangunan yang perlu dimasuki apabila anda tiba di destinasi.
Satu lagi pembaharuan adalah integrasi lebih mendalam pembantu AI Gemini ke dalam Maps, membolehkan pengguna berbual dengan aplikasi tersebut untuk menentukan lokasi terbaik bagi sesuatu tugasan.
Pertanyaan seperti “Bateri telefon saya hampir habis, jadi di mana saya boleh mengecasnya tanpa perlu menunggu lama sambil minum kopi?” atau “Kafe manakah yang berhampiran saya mempunyai Wi-Fi yang kuat dan palam kuasa untuk saya melakukan kerja?” akan menjadi perbualan biasa untuk kemudahan tambahan. Semua keputusan ini juga akan diperibadikan berdasarkan lokasi yang pernah dilawati atau carian terdahulu.
Ciri perbualan ini akan dilancarkan terlebih dahulu di AS dan India bagi peranti Android serta iOS, manakala rantau lain dirancang untuk menyusul lewat tahun ini, termasuk untuk pelayar desktop.
Bagi mod navigasi imersif pula, ia akan tersedia terlebih dahulu di AS dan boleh digunakan pada Android dan iOS, Android Auto, Apple CarPlay, serta kereta yang dilengkapi sistem Google built-in

