UMW Toyota Motor (UMWT) kini melangkah ke arena perlumbaan serantau dengan penubuhan TGR Racing Malaysia. Pasukan ini akan bertanding dalam kategori kelas GT4 bagi musim Thailand Super Series 2026 dengan mempertaruhkan jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2. Pasukan ini beroperasi dengan visi jangka masa panjang dalam aspek persaingan dan pembangunan, berbekalkan pengalaman yang dikumpul sepanjang
UMW Toyota Motor (UMWT) kini melangkah ke arena perlumbaan serantau dengan penubuhan TGR Racing Malaysia. Pasukan ini akan bertanding dalam kategori kelas GT4 bagi musim Thailand Super Series 2026 dengan mempertaruhkan jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2.
Pasukan ini beroperasi dengan visi jangka masa panjang dalam aspek persaingan dan pembangunan, berbekalkan pengalaman yang dikumpul sepanjang lapan musim penganjuran Toyota Gazoo Racing Vios Challenge di peringkat tempatan. Melalui siri tersebut, UMWT telah berjaya melahirkan bakat pemanduan tempatan, keupayaan teknikal, serta kepakaran operasi perlumbaan yang menjadi asas kepada penubuhan TGR Racing Malaysia.
GT4 merupakan kategori yang menampilkan kereta lumba berasaskan model produksi dan dihomologasikan mengikut regulasi teknikal yang spesifik. Regulasi ini menggunakan sistem *Balance of Performance* (BoP) untuk mengimbangi prestasi kereta daripada pengeluar berbeza serta output kuasa yang berlainan bagi memastikan persaingan yang adil.
Kesemua lima pusingan dalam musim Thailand Super Series GT4 akan ditandingi oleh barisan pemandu sepenuhnya rakyat Malaysia, yang terdiri daripada Shaun Thong, Weiron Tan, Nazim Azman dan Putera Adam.
TGR Racing Malaysia akan mempertaruhkan dua buah jentera perlumbaan GR Supra GT4 Evo2 yang disediakan mengikut regulasi Thailand Super Series GT4. Jentera GR Supra GT4 Evo2 ini dibangunkan dan dihasilkan oleh TGR Racing Europe sebagai sebahagian daripada program perlumbaan pelanggan global Toyota.
Seperti namanya, model Evo2 ini menggabungkan siri kemas kini yang memfokuskan kepada prestasi, kebolehpercayaan, dan kebolehmanduan (drivability). Ini termasuk prestasi brek yang ditambah baik, tetapan peredam (damper) yang disemak semula, sistem penyejukan yang dipertingkatkan, serta kalibrasi ABS yang lebih jitu.
Thailand Super Series akan bermula dengan ujian pra-musim pada 22-23 April di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, sebelum pusingan pembukaan berlangsung pada 21-24 Mei di litar yang sama. Pusingan kedua pula akan diadakan pada 1-5 Julai bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-20 festival perlumbaan jalanan antarabangsa Bangsaen Grand Prix di Chonburi.
Pusingan ketiga dan keempat bakal memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyokong pasukan tanah air apabila siri ini beralih ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 21-23 Ogos dan 18-20 September. Pusingan kemuncak pula akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Oktober hingga 1 November.


