Tahun ini dilihat sebagai tahun yang menjanjikan bagi arena sukan permotoran Malaysia di peringkat serantau. Pasukan terbaharu yang mengesahkan penyertaan adalah Wing Hin Motorsports dari Malaysia, yang bakal membuat penampilan sulung bagi musim penuh dalam Siri Eneos Super Taikyu 2026 di Jepun, di samping mempertahankan kejuaraan mereka dalam Piala Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ 2026. Wing
Wing Hin Motorsports akan mempertaruhkan jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2, yang bakal dipandu oleh pelumba Malaysia, Naquib Azlan dan Amer Harris, bersama pelumba berpengalaman dalam siri Super Taikyu dari Jepun, Shuji Maeshima.
Super Taikyu dianggap sebagai siri perlumbaan daya tahan pro-am terulung di Jepun, yang berasaskan kereta jelajah produksi dengan jarak perlumbaan antara 3 jam hingga 24 jam. Siri Eneos Super Taikyu 2026 akan terdiri daripada 7 pusingan yang berlangsung di pelbagai litar di seluruh Jepun.
Menerajui usaha baharu ini adalah bekas pemandu Super GT, Masahiro Sasaki, yang akan bertindak sebagai penasihat pasukan. Sasaki memainkan peranan penting dalam membimbing Naquib dan Amer semasa kempen sulung Piala GR86/BRZ mereka pada tahun 2025.
Sasaki merupakan pemandu Toyota Gazoo Racing dan juga pemandu pembangunan bagi Toyota serta Lexus. CV perlumbaan beliau termasuklah bersaing dalam Piala GR86/BRZ, Super Taikyu, Nurburgring 24 Hours dan Kelas GT300 dalam Super GT.
Misi mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala GR86/BRZ pasukan pula akan diketuai oleh Mitchell Cheah, seorang pemandu kereta jelajah berpengalaman yang pernah memenangi kejuaraan Kelas GT4 di The Super Series Thailand pada 2025 serta bersaing dalam 4-Hour ADAC Nurburgring Langstrecken Series pada tahun yang sama.
Sementara itu, di bawah inisiatif Program Perlumbaan Pelanggan Wing Hin Motorsports juga diberi tanggungjawab membimbing pelumba muda Indonesia, Jordan Johan, dalam penyertaan kedua bagi kategori GR86, mewakili Toyota Gazoo Racing Indonesia.
Kempen pasukan ini akan disokong oleh penaja setia, Moty’s, yang akan menggunakan tuntutan getir dunia sukan permotoran sebagai medan ujian bagi minyak enjin baharu mereka. Minyak tersebut dibangunkan menggunakan Minyak Asas Dikilang Semula (RRBO), iaitu minyak asas yang dihasilkan daripada penapisan semula minyak enjin terpakai. Kesemua kereta pasukan akan menggunakan teknologi pelincir mesra alam ini.


