Sebut sahaja mengenai trak pikap, nama Isuzu D-Max pastinya akan muncul sebagai salah satu model paling popular dalam segmennya, hasil reputasi keteguhan dan kecekapan bahan api yang luar biasa. Kini, Isuzu Malaysia telah mengemaskini barisan model tersebut dengan pengenalan enjin turbodiesel 2.2-liter baharu yang menawarkan pelbagai penambahbaikan, di samping pelancaran varian transmisi automatik untuk model
Enjin turbodiesel 2.2-liter terbaharu ini mencatatkan peningkatan dalam setiap aspek berbanding versi 1.9-liter sedia ada, merangkumi kuasa, tork, kualiti pemanduan, kehalusan, serta kecekapan bahan api.
Angka prestasinya juga amat mengagumkan, menghasilkan 8.7% lebih kuasa berbanding enjin 1.9-liter dengan 163 PS, manakala tork meningkat sebanyak 14.3% kepada 400 Nm yang boleh dicapai antara julat 1,600-2,400 rpm. Apabila dibandingkan dengan perbezaan cukai jalan tahunan yang kecil iaitu RM 172 berbanding model 1.9-liter, peningkatan prestasi yang ditawarkan adalah sangat signifikan.
Varian mercu dalam barisan model ini kekal diterajui oleh enjin 3.0-liter X-Terrain, manakala enjin 2.2-liter baharu pula akan melengkapi varian popular Premium 4×4, 4×2 Auto Plus dan model terlaris Standard 4×4.
Bersama enjin baharu ini, Isuzu turut memperkenalkan model pertama seumpamanya di Malaysia iaitu varian “single-cab” automatik. D-Max 2.2L Single Cab Auto akan menggunakan transmisi automatik 8-kelajuan yang sama, namun dengan nisbah pacuan akhir yang telah disemak semula bagi menampung kapasiti muatan yang lebih besar. Ia juga dilengkapi dengan Rough Terrain Mode, sistem kawalan cengkaman “off-road” Isuzu untuk pemanduan jalan lasak yang lebih baik. Lebih menarik, seluruh rangkaian D-Max 2.2-liter ini kini mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Selain nadi baharu, model kemaskini D-Max ini turut menampilkan rekaan lampu, gril, rim, dan pemijak sisi baharu untuk penampilan yang lebih segar. Bagi pilihan warna, Isuzu menambah dua rona baharu iaitu Inishmore Green Metallic dan Obsidian Gray Mica, walaupun ia terhad kepada varian terpilih sahaja.
Tambahan pula, varian 2.2L Single Cab Auto turut ditawarkan dengan pilihan warna Mercury Silver Metallic, satu perubahan menarik berbanding warna Splash White yang lazim digunakan pada trak pikap cab tunggal. Perbezaan utama antara model “single-cab” automatik dan manual adalah penggunaan bampar mengikut warna badan.
Terdapat juga kemas kini kecil pada kelengkapan di seluruh varian. Ini termasuk sistem infohibur 10-inci baharu untuk model X-Terrain, Premium, dan 4×2 Auto Plus, manakala varian Standard menerima unit utama 7-inci baharu serta “Tailgate Assist.” Ciri Rough Terrain Mode kini menjadi standard untuk semua model 4×4 termasuk Single Cab 4×4 Manual.
Berikut adalah senarai harga untuk rangkaian D-Max yang dikemas kini di Malaysia:
- D-Max 3.0L 4×4 X-Terrain – RM 162,938.40
- D-Max 3.0L 4×4 Premium (AT) – RM 145,138.40
- D-Max 2.2L 4×4 Premium (AT) – RM 141,821.20
- D-Max 2.2L 4×4 Standard (AT) – RM 122,171.20
- D-Max 2.2L 4×2 Plus (AT) – RM 114,671.20
- D-Max 2.2L 4×4 Standard (MT) – RM 114,271.20
- D-Max 2.2L 4×4 Single Cab (AT) – RM 109,321.20
- D-Max 3.0L 4×4 Single Cab (MT) – RM 108,888.40
- D-Max 2.2L 4×4 Single Cab (MT) – RM 103,121.20
Semua varian D-Max 2026 didatangkan dengan pakej servis penyelenggaraan berkala percuma selama 2 tahun atau 20,000 km, serta jaminan selama 5 tahun atau 150,000 km. Kecuali untuk varian mercu X-Terrain yang menikmati jaminan perbatuan tanpa had selama 7 tahun, yang merupakan pendahulu dalam kelasnya.



