Mercedes-Benz GLE, GLE Coupe dan GLS facelift kini diperkenalkan dengan rekaan dikemas kini untuk 2026, rangkaian enjin yang diperbaharui serta teknologi kabin baharu, susulan kemas kini sebelumnya pada tahun 2023. Dari segi luaran, ketiga-tiga model ini kini mengikut bahasa rekaan terkini Mercedes-Benz, dengan grafik tiga bintang pada lampu DRL dan lampu belakang, bersama rekaan bampar
Mercedes-Benz GLE, GLE Coupe dan GLS facelift kini diperkenalkan dengan rekaan dikemas kini untuk 2026, rangkaian enjin yang diperbaharui serta teknologi kabin baharu, susulan kemas kini sebelumnya pada tahun 2023.
Dari segi luaran, ketiga-tiga model ini kini mengikut bahasa rekaan terkini Mercedes-Benz, dengan grafik tiga bintang pada lampu DRL dan lampu belakang, bersama rekaan bampar hadapan yang diperbaharui.
Antara perubahan utama ialah enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dengan flat-plane crankshaft yang kini digunakan pada GLE580 4Matic dan GLS580 4Matic.Enjin ini menghasilkan 537 PS dan 750 Nm, meningkat berbanding 518 PS dan 730 Nm sebelum ini.
GLE450 4Matic pula masih menggunakan enjin 3.0-liter enam silinder sebaris petrol, kini dengan output 381 PS dan 560 Nm, dengan peningkatan tork sebanyak 12% hasil naik taraf seperti compressor elektrik yang lebih berkuasa serta penambahbaikan pada sistem kemasukan dan ekzos.
Bagi varian plug-in hybrid, GLE450e 4Matic menggabungkan enjin pembakaran dalaman 326 PS/540 Nm dengan motor elektrik 183 PS/480 Nm, menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 106 km (WLTP). Semua varian lain (kecuali PHEV) dilengkapi sistem mild hybrid 48V dengan integrated starter-generator yang menyumbang tambahan 23 PS dan 205 Nm.
Di bahagian dalam, rangkaian GLE kini didatangkan standard dengan sistem Superscreen, merangkumi paparan tengah 14.4-inci, paparan pemandu 12.3-inci dan paparan penumpang hadapan 12.3-inci. Turut dikemas kini ialah stereng baharu dengan kawalan fizikal, rekaan tempat duduk hadapan yang diperbaharui serta tempat duduk baris kedua yang boleh dilaras secara elektrik untuk memudahkan akses ke baris ketiga.
Bersama model standard, varian Mercedes-AMG GLE53 4Matic+ dan GLE53 Hybrid 4Matic+ (termasuk versi Coupé) turut dikemas kini. GLE53 menggunakan enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 449 PS dan 600 Nm (640 Nm dengan overboost), disokong sistem 48V.
Versi plug-in hybrid pula menggabungkan enjin ini dengan motor elektrik 184 PS untuk jumlah output sistem 585 PS dan 750 Nm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 4.5 saat. Jarak pemanduan elektrik adalah sehingga 88 km bagi SUV dan 90 km bagi Coupé, dengan pengecasan pantas DC sehingga 60 kW membolehkan pengecasan 10–80% dalam sekitar 20 minit.
GLS turut menerima kemas kini yang sama, termasuk enjin V8 pada GLS580 4Matic, serta enjin enam silinder petrol dan diesel yang kini menghasilkan 381 PS/560 Nm, 313 PS/650 Nm dan 367 PS/750 Nm. Berbeza dengan GLE, tiada varian plug-in hybrid ditawarkan untuk GLS.
Bagi GLS, sistem suspensi Airmatic kini dilengkapi kawalan damper berasaskan cloud yang menggunakan komunikasi car-to-X untuk melaraskan suspensi mengikut keadaan jalan di hadapan. Di dalam kabin, GLS menampilkan susun atur Superscreen dengan tiga paparan 12.3-inci, tujuh tempat duduk dengan pelarasan elektrik serta dua skrin hiburan belakang bersaiz 11.6-inci.
Turut diperkenalkan ialah sistem penapisan udara elektrik baharu yang mampu memperbaharui udara dalam kabin setiap kira-kira 90 saat.
2026 Mercedes-Benz GLE, GLE Coupe dan GLS facelift dijangka mula dijual di Eropah pada akhir tahun ini.




