Penggabungan McLaren dengan syarikat pemula kenderaan elektrik (EV), Forseven, bagi membentuk McLaren Group Holdings tidak disangka oleh ramai pihak. Namun, setelah kemelut tersebut reda, firma yang berpangkalan di Woking itu mengesahkan bakal melancarkan pelbagai model baharu berkuasa enjin pembakaran dalam (ICE) menjelang tahun 2030, bermula dengan pratonton kereta baharu pertamanya pada pertengahan tahun ini. Laporan
Laporan oleh Autocar memperincikan pengambilalihan firma kereta sukan ikonik itu oleh CYVN Holdings, sebuah dana pelaburan kerajaan Abu Dhabi, yang kemudiannya menggabungkan firma tersebut dengan Forseven dan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forseven, Nick Collins, untuk menerajui syarikat.
Collins pada mulanya mendedahkan bahawa McLaren akan membentangkan pelan rancangannya menjelang akhir tahun 2025, namun ia ditangguhkan atas faktor strategik. Selain itu, CYVN telah melabur kira-kira £1.5 bilion (~RM 8 bilion) dalam McLaren bagi memperluas portfolio sedia ada melampaui segmen kereta super dua tempat duduk.
“Bermula musim panas ini, kami akan mula mendedahkan pelan kami kepada umum, sama ada melalui penghantaran model W1 atau dengan mempamerkan produk baharu,” kata Collins.
Ini membayangkan bahawa pengumuman model masa hadapan akan dilakukan serentak dengan penghantaran kereta hiper perdana terbaharu, McLaren W1, yang merupakan pewaris kepada model P1.
Selain itu, Collins menambah bahawa barisan pengedar telah pun diperlihatkan dengan model bersaiz penuh bagi kesemua kereta baharu yang bakal dilancarkan oleh jenama itu menjelang 2030.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa pendedahan itu berkemungkinan besar bukanlah model produksi, sebaliknya sebuah model konsep yang akan menentukan hala tuju syarikat pada masa hadapan.
Adakah McLaren akan memperkenalkan model EV? Menurut Collins, belum lagi, memandangkan pelanggan masih belum menunjukkan minat ke arah itu. Walau bagaimanapun, jika terdapat keperluan, mereka akan mengusahakannya. Ini memastikan semua model baharu yang bakal dilancarkan menjelang 2030 akan dikuasakan utamanya oleh enjin pembakaran dalam dengan kemungkinan integrasi elektrifikasi, seperti nadi V8 4.0-liter turbo berkembar pada W1 yang dilengkapi modul elektrik ‘E-module’ berteknologi F1.


