Susulan kemunculan sulung Toyota GR Yaris 2026 yang dikemas kini di Jepun, model “hyper hatch” yang diperbaharui itu kini telah tiba di pasaran Malaysia dengan pelbagai penambahbaikan. Sekali lagi, dua varian ditawarkan iaitu transmisi manual enam kelajuan yang dijual pada harga RM 315,600 dan transmisi automatik lapan kelajuan bermula daripada RM 325,600. Kedua-dua varian ini
Susulan kemunculan sulung Toyota GR Yaris 2026 yang dikemas kini di Jepun, model “hyper hatch” yang diperbaharui itu kini telah tiba di pasaran Malaysia dengan pelbagai penambahbaikan.
Sekali lagi, dua varian ditawarkan iaitu transmisi manual enam kelajuan yang dijual pada harga RM 315,600 dan transmisi automatik lapan kelajuan bermula daripada RM 325,600. Kedua-dua varian ini disertakan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan daripada UMW Toyota.
Seperti mana kemas kini di Jepun, GR Yaris baharu ini mengekalkan perubahan besar pada bahagian kabin yang difokuskan untuk meningkatkan pengalaman pemanduan. Antara perubahan utama ialah rekaan stereng baharu yang meningkatkan aspek cengkaman dan keselesaan pada tapak tangan.
Stereng tersebut telah direka semula berdasarkan analisis dan maklum balas litar di dunia nyata dengan matlamat untuk meningkatkan kawalan serta mengekalkan fokus terhadap pemanduan.
Jurutera TGR telah menjalankan penilaian bersama pemandu lumba profesional untuk mengoptimumkan reka bentuk dan susun atur stereng, lalu memutuskan untuk mengurangkan diameternya sebanyak 5 mm kepada 360 mm. Ini membolehkan input stereng dilakukan dengan lebih pantas. Sementara itu, kawasan cengkaman telah diperbesarkan dan tempat letak ibu jari dibuang bagi mencapai tindak balas yang lebih unggul dalam keadaan perlumbaan.
Selain itu, susun atur suis juga telah diubah suai secara drastik berdasarkan pemerhatian terhadap pemandu yang sering memusingkan stereng sehingga 180 darjah tanpa menukar posisi tangan. Oleh itu, kedudukan suis dialihkan daripada jejari stereng bagi mengelakkan tekanan yang tidak sengaja.
Sebahagian daripada kemas kini ini turut merangkumi kalibrasi baharu bagi stereng kuasa elektrik, yang bertujuan untuk memastikan operasi yang boleh dipercayai walaupun ketika menggunakan tayar dengan cengkaman tinggi atau di bawah bebanan berat dan brek yang kuat.
Akhir sekali, penyerap hentak suspensi juga telah ditala semula walaupun komponen mekanikalnya kekal tidak berubah.
Satu lagi bahagian yang tidak berubah ialah rangkaian kuasa. Enjin G16E-GTS 1.6-liter pengecas turbo tiga silinder sebaris masih menghasilkan 300 PS dan tork 400 Nm, yang dihantar ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda GR-Four yang dipadankan dengan unit Torsen LSD di kedua-dua hujung gandar.
Sekiranya anda memilih varian automatik, ia akan dilengkapi dengan kawalan pelancaran (launch control) dan penyejuk ATF, walaupun catatan masa pecutan 0-100 kph adalah identik bagi kedua-dua varian, iaitu 5.2 saat, begitu juga dengan kelajuan maksimum yang dihadkan pada 230 kph.
Set roda standard dimulakan dengan rim aluminium tempa BBS 18-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Potenza Race bersaiz 225/40R18. Melengkapkan ciri luaran ialah bumbung plastik diperkukuh gentian karbon (CFRP) dan ekzos berkembar.
Toyota GR Yaris 2026 boleh didapati dalam salah satu daripada empat warna pilihan, iaitu Platinum White Pearl Mica, Emotional Red, Precious Metal dan Precious Black.




