Hanya beberapa hari selepas hantaran acah di media sosial, tempahan untuk Toyota Yaris Cross 2026 kini dibuka secara rasmi dengan harga permulaan RM 99,900, termasuk tawaran pilihan hibrid. Berdasarkan senarai harga yang dikongsikan, terdapat dua varian Yaris Cross yang tersedia dengan harga anggaran: Toyota Yaris Cross 1.5S – RM 99,900 Toyota Yaris Cross 1.5 HEV
Hanya beberapa hari selepas hantaran acah di media sosial, tempahan untuk Toyota Yaris Cross 2026 kini dibuka secara rasmi dengan harga permulaan RM 99,900, termasuk tawaran pilihan hibrid.
Berdasarkan senarai harga yang dikongsikan, terdapat dua varian Yaris Cross yang tersedia dengan harga anggaran:
- Toyota Yaris Cross 1.5S – RM 99,900
- Toyota Yaris Cross 1.5 HEV – RM 109,900
Kedua-dua varian didatangkan dengan waranti selama 5 tahun, manakala varian hibrid menerima waranti tambahan selama 8 tahun bagi bateri hibrid, penyongsang (inverter) dan unit kawalan pengurusan kuasa (ECU).
Sebagai perbandingan, model kembarnya iaitu Perodua Traz, bermula pada harga RM 76,100 dan mencecah sehingga RM 82,000. Seperti yang dijangkakan sebelum ini, Yaris Cross diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dalam pasaran dengan kelengkapan yang lebih baik serta trenkuasa hibrid di bawah platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Perlu diperhatikan juga bahawa Yaris Cross bagi pasaran Asean adalah model yang berbeza berbanding model yang dijual di Eropah.
Berdasarkan risalah, Yaris Cross HEV akan dilengkapi dengan kawalan jelajah adaptif (adaptive cruise control) dan lampu tinggi automatik sebagai sebahagian daripada ciri keselamatan dalam rangkaian fungsi ADAS Toyota Safety Sense.
Kelengkapan tambahan termasuk skrin sentuh infotainmen 10.1-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, rim 18-inci, pencahayaan dalaman berwarna biru, serta kluster instrumen digital LCD TFT 7.0-inci dengan empat mod paparan.
Yaris Cross mempunyai ukuran panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, dan tinggi 1,615 mm dengan jarak roda sejauh 2,525 mm. Angka-angka ini adalah identik dengan Traz kecuali pada bahagian ketinggian, di mana Traz adalah 40 mm lebih tinggi.
Dari aspek teknikal, Yaris Cross 1.5S dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter aspirasi semula jadi empat silinder sebaris (2NR-VE) yang sama seperti Traz, menghasilkan 106 PS dan tork 138 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi D-CVT (Dual-Mode CVT) Daihatsu.
Bagi Yaris Cross 1.5 HEV pula, ia menggunakan trenkuasa hibrid yang diterajui oleh enjin 1.5-liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (2NR-VEX). Enjin tersebut menghasilkan 91 PS dan tork 121 Nm, dibantu oleh motor elektrik yang menyumbang 80 PS dan tork 141 Nm untuk jumlah output keseluruhan sistem sebanyak 111 PS. Kuasa dihantar ke roda hadapan melalui transmisi CVT.
Pasaran SUV segmen-B tempatan kini sudah pun dipenuhi dengan pelbagai pilihan, menjadikan kemasukan lewat Yaris Cross ini satu cabaran yang besar. Walau bagaimanapun, UMWT sentiasa bersedia untuk bersaing dengan model seperti Proton X50, Honda HR-V, Chery Tiggo Cross, Jaecoo J5 dan Mitsubishi Xforce yang baru sahaja dilancarkan.



