Chery Tiggo V secara rasminya telah membuat kemunculan sulung global di Beijing Auto Show 2026. Diposisikan sebagai SUV “transformable” pertama dalam barisan Tiggo, kenderaan ini direka khas untuk memadamkan sempadan antara kategori kenderaan tradisional. Chery Tiggo V (V bermaksud versatile) hadir sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk dalam bentuk standardnya, namun ia menggunakan arkitektur pelbagai
Chery Tiggo V secara rasminya telah membuat kemunculan sulung global di Beijing Auto Show 2026. Diposisikan sebagai SUV “transformable” pertama dalam barisan Tiggo, kenderaan ini direka khas untuk memadamkan sempadan antara kategori kenderaan tradisional.
Chery Tiggo V (V bermaksud versatile) hadir sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk dalam bentuk standardnya, namun ia menggunakan arkitektur pelbagai guna yang membolehkan ia diubah menjadi sebuah pikap atau pembawa kargo. Menurut syarikat itu, kenderaan ini menawarkan enam konfigurasi berbeza bagi memenuhi pelbagai senario mobiliti, daripada pemanduan bandar sehinggalah kepada urusan logistik dan aktiviti luar.
Peralihan antara SUV dan pikap ini dimungkinkan melalui struktur badan belakang yang boleh ditanggalkan (detachable rear body shell). Bagi susun atur berfokuskan kargo, ia mengambil inspirasi daripada kajian model T1TP yang menampilkan ruang kargo 600 liter dengan empat titik sauh, serta pembahagi boleh laras untuk memanjangkan ruang muatan terus ke dalam kabin penumpang.
Tiggo V dibina di atas platform unibody dengan jarak roda (wheelbase) sepanjang 2,800 mm dan ketinggian dalaman 1,297 mm. Ketinggian kabin yang luas ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan penumpang di dalam kenderaan.
Dari segi tren kuasa, pilihan merangkumi varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan Kenderaan Elektrik Hibrid Plug-in (PHEV), walaupun perincian spesifikasi khusus masih belum dikongsi buat masa ini.
Bukan sekadar untuk kegunaan bandar, Tiggo V turut menawarkan jarak kelegaan tanah (ground clearance) setinggi 220 mm dan mampu mengendalikan kecerunan muka bumi sehingga 30%. Keupayaan mengharung air (water wading) pula berbeza mengikut rangkaian kuasa; varian PHEV mampu mengharung sedalam 700 mm, manakala versi petrol pada tahap 650 mm.
Chery meletakkan Tiggo V sebagai model strategik global utamanya untuk tahun 2026, namun tarikh pelancaran bagi pasaran individu (atau senarai pasaran khusus yang akan menerimanya) masih belum didedahkan sewaktu majlis pelancaran tersebut.


