Generasi ketiga Audi Q5 2026 telah mendarat secara rasmi di pasaran Malaysia melalui Audi Malaysia dan pengedar rasminya, PHS Automotive Malaysia. Dua varian SUV mewah ditawarkan untuk pasaran tempatan, iaitu Q5 Advanced yang dijual pada harga bermula RM 352,990, dan varian coupe yang lebih sporty, Q5 Sportback S line bermula dari RM 421,990. Meskipun kedua-dua
Generasi ketiga Audi Q5 2026 telah mendarat secara rasmi di pasaran Malaysia melalui Audi Malaysia dan pengedar rasminya, PHS Automotive Malaysia.
Dua varian SUV mewah ditawarkan untuk pasaran tempatan, iaitu Q5 Advanced yang dijual pada harga bermula RM 352,990, dan varian coupe yang lebih sporty, Q5 Sportback S line bermula dari RM 421,990.
Meskipun kedua-dua varian dilengkapi enjin pengecas turbo TFSI 2.0-liter, tahap kuasanya adalah berbeza. Q5 Advanced menghasilkan 199 PS dan tork 340 Nm, manakala Q5 Sportback S Line menawarkan prestasi lebih tinggi dengan 272 PS dan tork 400 Nm.
Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem transmisi klac berkembar S-tronic 7-kelajuan dengan sistem pacuan Quattro yang hadir secara standard. Kedua-dua varian turut dilengkapi ciri Audi Drive Select untuk pilihan mod pemanduan yang berbeza.
Dari aspek visual, Q5 Advanced mengekalkan profil SUV tradisional dengan bahagian belakang yang lebih berpetak serta rim bersaiz 19-inci. Sebaliknya, Q5 Sportback S Line menampilkan garis bumbung belakang ala coupe yang melandai, rim 20-inci yang lebih besar, kemasan luaran S Line yang lebih agresif, serta angkup brek berwarna merah.
Bahagian hadapan dilengkapi lampu utama Matrix LED dengan corak lampu digital serta fungsi lampu aluan. Kedua-dua varian turut menerima lampu belakang LED, namun Q5 Sportback S Line ditambah dengan fungsi unjuran lampu brek yang memaparkan isyarat amaran kepada pemandu di belakang.
Ruang kabin tampil istimewa dengan paparan infotainmen OLED melengkung 14.5-inci di bahagian tengah, diapit oleh Audi Virtual Cockpit 11.9-inci sebagai panel instrumen digital. Penumpang juga bakal menikmati kemudahan kawalan suara terbina yang dikuasakan oleh ChatGPT, serta ketersambungan tanpa wayar Android Auto dan Apple CarPlay.
Kelengkapan tambahan bagi varian Q5 Sportback S Line termasuklah kerusi dengan sistem pengudaraan, paparan dongak (heads-up display), serta sistem bunyi Bang & Olufsen 3D.
Pemilik boleh mengakses kenderaan mereka secara jauh melalui aplikasi Audi Connect untuk mengunci atau membuka pintu, menyemak status kenderaan, menjejaki lokasi SUV, serta menerima amaran kecurian. Aplikasi ini juga berfungsi sebagai kunci digital melalui telefon pintar. Ciri keselamatan merangkumi suite ADAS lengkap yang merangkumi kawalan jelajah adaptif, amaran dan mitigasi keluar lorong, serta pemantauan titik buta.
Setiap unit Audi Q5 baharu hadir dengan waranti tanpa had perbatuan selama 2 tahun (boleh dilanjutkan kepada 5 tahun melalui Audi Assurance Package), penyelenggaraan percuma selama 5 tahun atau 75,000 km, serta bantuan tepi jalan selama 5 tahun.



