MG Motor Malaysia meraikan permulaan tahun 2026 yang kukuh, ditandai dengan peningkatan jualan, pencapaian produk utama, penglibatan pelanggan yang lebih tinggi, serta rancangan pengembangan berterusan di pasaran Malaysia. Jenama tersebut mencatatkan pertumbuhan jualan yang mantap pada Suku Pertama (Q1) 2026 dengan 807 unit, melonjak sebanyak 57% berbanding 513 unit pada Suku Keempat (Q4) 2025. Selain
MG Motor Malaysia meraikan permulaan tahun 2026 yang kukuh, ditandai dengan peningkatan jualan, pencapaian produk utama, penglibatan pelanggan yang lebih tinggi, serta rancangan pengembangan berterusan di pasaran Malaysia.
Jenama tersebut mencatatkan pertumbuhan jualan yang mantap pada Suku Pertama (Q1) 2026 dengan 807 unit, melonjak sebanyak 57% berbanding 513 unit pada Suku Keempat (Q4) 2025. Selain itu, pertumbuhan tahun ke tahun bagi tempoh yang sama berbanding Q1 2025 turut meningkat sebanyak 39%.
Dari aspek portfolio, pencapaian utama dicatatkan pada bulan Mac melalui majlis pelancaran pemasangan tempatan (CKD) MG S5 EV di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka. Ini merupakan kenderaan elektrik pertama MG yang dipasang secara tempatan di Malaysia. Fasiliti ini dirancang untuk memulakan eksport ke Amerika Selatan jugak.
Pencapaian ini melambangkan fasa seterusnya dalam perjalanan penyetempatan MG, sekaligus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat terhadap pemasangan tempatan, pemindahan teknologi, dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
MGS5 EV CKD ditawarkan pada harga RM 116,900 dan kini tersedia untuk pandu uji di semua bilik pameran MG seluruh negara, dengan promosi pelancaran khas bernilai sehingga RM 9,000 sedang berlangsung.
Bagi masa hadapan, syarikat induk SAIC akan terus memberikan tumpuan kepada MG sebagai jenama penerajunya di Malaysia. Ini bermakna kumpulan Weststar akan terus mengendalikan portfolio Maxus.
Selain itu, tiada had khusus diletakkan pada kategori rangkaian kuasa tertentu, sama ada enjin pembakaran dalaman (ICE) atau EV. Sebaliknya, MG akan memberi respons berdasarkan regulasi tempatan, permintaan pasaran, dan insentif kerajaan. Ini membuka ruang kepada lebih banyak model dengan pelbagai pilihan rangkaian kuasa pada masa hadapan.
Di samping pencapaian tersebut, MG terus mendekati pelanggan menerusi siri aktiviti perayaan dan jualan, yang diterajui oleh kempen pandu uji ‘Experience British Driving Dynamics.’ Momentum ini diperkukuhkan lagi melalui siri jelajah di destinasi gaya hidup utama seperti Desa ParkCity, Quayside Mall, The Curve, Starling Mall dan IOI City Mall.
Kemuncak bagi Q1 2026 buat syarikat ini pastinya kejayaan MG Cyberster yang dinobatkan sebagai “Performance Car of the Year” oleh MARii.
Rancangan masa hadapan untuk tahun ini merangkumi usaha berterusan untuk memperkukuh rangkaian dan keupayaan perkhidmatan selepas jualan, yang diterajui oleh penambahan pusat MG 3S di Kuantan dan Rawang. Jenama itu kini mempunyai 11 kemudahan baik pulih badan dan cat di seluruh negara.
Akhir sekali, MG Motor Malaysia akan menyertai Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang akan datang. Kehadiran Jozef Kaban, Naib Presiden Reka Bentuk Global di SAIC Motor, bakal menyerikan lagi reruai mereka di mana beliau akan berkongsi input mengenai falsafah serta evolusi bahasa reka bentuk global MG.


