02 Jul 2026, 08:52:22 AM

Top 5 This Week

Related Posts

Nadi Dari China? Lotus Emira Baharu Bakal Menggunakan Enjin V6 Daripada Horse Powertrains

Lotus mungkin tidak pernah membayangkan masa depannya di bawah pemilikan syarikat China, apatah lagi menggunakan enjin buatan China pada jentera ringannya. Namun, itulah realitinya sekarang. Hampir sedekad selepas Geely mengambil alih pegangan kawalan dalam pembuat kereta sukan legenda ini, enjin V6 pengecas turbo baharu yang dibangunkan oleh Horse Powertrains (HP) bakal memacu model Lotus Emira

Sebagai penjelasan awal, secara teknikal ini bukanlah enjin China pertama yang digunakan oleh Lotus. Gelaran tersebut milik Lotus For Me, yang pada asasnya merupakan SUV Eletre dengan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) yang merangkumi enjin petrol 2.0-liter empat silinder sebaris di bawah payung Geely.

Kedua, Horse Powertrains merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara Geely dan Renault, maka secara teknikalnya enjin ini adalah separuh China dan separuh Perancis.

Nadi Dari China? Lotus Emira Baharu Bakal Menggunakan Enjin V6 Daripada Horse Powertrains

Enjin tersebut, dengan kod nama W30, mempunyai sesaran 3.0-liter dan mampu menghasilkan kuasa sehingga 536 PS serta tork 700 Nm. Ia direka untuk masa depan dengan keupayaan adaptasi bagi aplikasi hibrid ringan (mild-hybrid), hibrid penuh, mahupun hibrid plug-in.

Berat enjin ini dilaporkan hanya 160 kg, yang menurut HP adalah 22 kg lebih ringan daripada mana-mana enjin V6 lain yang sedang dikeluarkan sekarang. Selain ringan, ia juga dikatakan sebagai enjin V6 terkecil di pasaran dan boleh dipasang secara membujur atau melintang.

HP membangunkan enjin ini untuk dipadankan dengan transmisi hibrid empat kelajuan (kod nama 4LDHT) yang dilengkapi motor dwi dan mempunyai berat 199 kg.

Nadi Dari China? Lotus Emira Baharu Bakal Menggunakan Enjin V6 Daripada Horse Powertrains

Laporan daripada Autocar juga menyatakan bahawa reka bentuk modular dan sesaran enjin ini akan menjadi asas kepada enjin V8 akan datang oleh HP, yang berkemungkinan mempunyai sesaran 4.0-liter.

Enjin V8 yang lebih besar itu bakal memacu “supercar” baharu jenama tersebut yang dijangka menemui jalan raya pada tahun 2028. Model itu dijangka menghidupkan semula nama ikonik Esprit yang kali terakhir digunakan pada tahun 2004. Untuk model tersebut, ia bakal membentuk asas rangkaian kuasa hibrid dengan output melebihi 1,000 PS bersama motor elektrik.

Lotus turut mengesahkan bahawa Emira yang dikemas kini akan terus dipasang di kilang Hethel, sekali gus menamatkan khabar angin bahawa kemudahan tersebut bakal ditutup. Kilang itu mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 10,000 unit, namun kini beroperasi pada tahap lima kali ganda lebih rendah.

Nadi Dari China? Lotus Emira Baharu Bakal Menggunakan Enjin V6 Daripada Horse Powertrains

Langkah untuk beralih daripada rangkaian kuasa Mercedes-AMG dan Toyota adalah logik bagi Geely dan Lotus. Secara dasarnya, penubuhan HP adalah bertujuan untuk membangunkan dan membina lebih banyak enjin dalaman yang akan memacu sebahagian besar rangkaian model mereka.

Sebelum ini, Emira ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0-liter empat silinder pengecas turbo daripada Mercedes-AMG (yang turut digunakan pada Mercedes-AMG A45) atau enjin V6 3.5-liter pengecas super daripada Toyota. Walaupun hanya enjin Toyota ditawarkan dengan transmisi manual, adalah tidak mungkin model Emira yang dikemas kini ini akan mengekalkan pilihan tiga pedal tersebut.

Rob Lewis

Rob is a senior writer at Urban Observer, with more than 10 years of lifestyle magazine experience. Passionate and detail oriented, he has a proven track record of reliability and fairness that sets him apart from others. Always looking for the next big story!

Popular Articles