Sebagai kenderaan elektrik (EV) pertama Volkswagen yang membawa gelaran ikonik GTI, jangkaan terhadap model ini sememangnya amat tinggi. Seolah-olah cabaran tersebut masih belum mencukupi, pihak pengurusan di Wolfsburg tampil memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa Volkswagen ID. Polo GTI 2026 baharu ini adalah “sebuah GTI yang sebenar.” Namun, sejurus selepas itu, mereka mengumumkan penangguhan model
Sesuatu yang agak mengelirukan.
Walau apa pun, ID. Polo GTI merupakan model GTI elektrik yang pertama. Selain ketiadaan enjin pembakaran dalaman (ICE), Volkswagen menegaskan bahawa model ini tetap mengekalkan jiwa sebuah “hot hatch” tradisional.
Jentera pemacu roda hadapan ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 226 PS dan tork mencecah 290 Nm. Jika angka tersebut kedengaran kurang mengagumkan, hakikatnya ia memang tidaklah terlalu pantas. Pecutan dari 0 hingga 100 kph mengambil masa 6.8 saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan pada 175 kph.
Meskipun dilengkapi dengan perbezaan gelinciran terhad (LSD) elektronik, sistem penggantungan yang lebih rendah, serta brek lebih besar dengan angkup berwarna merah, ia masih dikategorikan antara “hot hatch” elektrik yang agak perlahan.
Bagaimanapun, model ini mempunyai berat 1,540 kg, menjadikannya antara EV yang agak ringan. Faktor utama yang menyumbang kepada berat ini adalah penggunaan pek bateri nikel-mangan-kobalt (NMC) bersaiz kecil dengan kapasiti 52 kWh, yang menawarkan jarak gerak sejauh 424 km berdasarkan kitaran WLTP. Dengan keupayaan pengecasan maksimum pada kadar 105 kW, tahap pengecasan boleh ditingkatkan dari 10-80% dalam masa 24 minit.
Dari segi penampilan, ia memamerkan reka bentuk luaran sebuah GTI yang tulen, lengkap dengan rekaan bampar hadapan yang agresif serta skirt sisi yang tertera lencana GTI. Pada bahagian belakang pula, terdapat peresap udara yang menjadikan dimensinya 5 cm lebih panjang berbanding model standard ID. Polo. Rim bersaiz 19-inci yang dipadankan adalah unik untuk model ini, diserikan lagi dengan tulisan GTI pada penutup tengah roda.
Beralih ke bahagian ruang kabin, reka bentuk roda stereng menampilkan rekaan atas dan bawah yang rata, iaitu suatu trend yang semakin popular bagi segmen kenderaan elektrik masa kini. Tempat duduk jenis “bucket” yang kemas membalut badan pula menggunakan corak fabrik tartan tradisional yang menjadi identiti wajib bagi setiap model GTI.
Skrin sesentuh bagi sistem infohibur di bahagian tengah bersaiz 12.9-inci dan dilengkapi dengan mod paparan retro yang menyerupai reka bentuk grafik daripada model Golf Mk1. Ini termasuklah paparan trek lagu yang digambarkan dalam bentuk kaset.
Malah, kluster instrumen digital bersaiz 10.25-inci turut meniru reka bentuk kluster analog Golf Mk1, walaupun pemandu masih boleh memilih mod paparan digital standard yang lain.
Ciri-ciri khusus GTI seperti sistem kawalan casis adaptif (DCC) ditawarkan sebagai kelengkapan standard. Malah, Volkswagen telah mengambil langkah tambahan demi mengekalkan pemanduan beridentitikan GTI dengan memperkenalkan bunyi pecutan enjin pembakaran dalaman tiruan.
Satu varian yang lebih berprestasi tinggi, iaitu Clubsport, bakal diperkenalkan kemudian. Varian tersebut akan menawarkan kuasa yang lebih tinggi serta sistem gear maya bagi memberikan simulasi penukaran gear tiruan menggunakan pengalih dayung (paddle shifters). Buat masa ini, fungsi pengalih dayung pada stereng dua jejari sedia ada adalah bertujuan untuk melaras tahap sistem brek regeneratif.
Namun di satu sudut lain, Volkswagen telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelancaran model Golf elektrik daripada garis masa asal pada tahun 2028 ke tahun 2030.
Model Golf EV tersebut dibina berasaskan platform SSP baharu kumpulan berkenaan, yang dibangunkan dengan kerjasama Rivian. Penangguhan ini tidaklah begitu mengejutkan memandangkan model hatchback elektrik ID.3, yang mempunyai saiz hampir serupa dengan Golf, baru sahaja menerima penggayaan semula dan dinamakan semula sebagai ID.3 Neo. Mengambil kira kitaran hayat model keluaran Wolfsburg yang kebiasaannya bertahan selama 4 tahun, tahun 2030 dilihat sebagai tempoh yang munasabah bagi pelancaran Golf EV.





