Setelah beberapa sesi acahan dan pratonton, Jaecoo J5 2WD 2026 kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh Omoda Jaecoo Malaysia. Ia ditawarkan pada harga RM 108,000, namun menerusi pakej pelancaran khas, pembeli awal boleh memilikinya pada harga hanya RM 102,000 sampai 15 Mac. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, J5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter empat-silinder pengecas
Setelah beberapa sesi acahan dan pratonton, Jaecoo J5 2WD 2026 kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia oleh Omoda Jaecoo Malaysia. Ia ditawarkan pada harga RM 108,000, namun menerusi pakej pelancaran khas, pembeli awal boleh memilikinya pada harga hanya RM 102,000 sampai 15 Mac.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, J5 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter empat-silinder pengecas turbo yang menghasilkan 147 PS dan tork 210 Nm. Enjin ini menggabungkan teknologi penyejukan dalaman (intercooling) bersepadu pengambilan dan kepala silinder manifold ekzos bersepadu untuk meningkatkan kecekapan terma. Transmisi CVT ditugaskan untuk menghantar kesemua kuasa tersebut ke roda hadapan.
Dengan segala teknologi pada enjin tersebut, J5 mencatatkan kadar penggunaan bahan api gabungan sebanyak 6.4 liter/100 km berdasarkan Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC), sekaligus melayakkannya menerima status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Malaysia.
J5 berukuran 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, dan 1,650 mm tinggi dengan jarak roda 2,620 mm. Ia menggunakan keluli tegangan tinggi di kawasan utama dan struktur badannya direka untuk memberikan penyerapan impak yang teguh sekiranya berlaku kemalangan. Ini dipadankan dengan penarafan ketegaran kilasan mendahului kelasnya sebanyak 23,500 Nm/darjah.
Aspek pengendalian pula dibantu oleh suspensi hadapan jenis “MacPherson strut” dan sistem suspensi belakang “multi-link.” Cengkaman jalan hadir daripada roda dwi-tona 18-inci yang dibalut tayar bersaiz 235/55 R18.
Melangkah ke ruang dalaman, kabin lima tempat duduk ini menggunakan upholsteri “leatherette” dengan kemasan putih yang tersendiri pada tempat duduk, serta dilengkapi fungsi pengudarakan pada kerusi hadapan. Aspek praktikaliti juga mengagumkan dengan ruang but 480 liter yang boleh diperluas kepada 1,284 liter apabila tempat duduk belakang lipatan 60/40 direndahkan.
J5 turut menampilkan upholsteri mesra haiwan peliharaan yang diperakui TUV, di mana ruang dalamannya mempunyai ciri anti-bakteria dan tahan calar.
Tumpuan utama di bahagian tengah ialah sistem paparan infotaimen pusat 13.2-inci 2K yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, serta memaparkan sistem kamera pandangan sekeliling 540 darjah.
Pemandu menerima maklumat melalui kluster instrumen digital LCD 8.0-inci. Terdapat juga pad pengecasan tanpa wayar 50W dengan pengudarakan aktif untuk memastikan peranti anda kekal sejuk.
Akhir sekali, J5 turut dilengkapi dengan pembancuh suara (mixer) dalam kereta terbina dengan kawalan aplikasi yang mengubah kabin menjadi bilik karaoke peribadi, manakala tingkap hadapan dwi-lapis berfungsi mengurangkan bunyi bising kabin.
Ciri keselamatan merangkumi sistem ADAS Tahap 2+ yang komprehensif dengan 19 fungsi:
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
- Pengesanan Titik Buta (BSD)
- Bantuan Tukar Lorong (LCA)
- Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh (ACC)
- Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (DAI)
- Bantuan Jelajah Bersepadu (ICA)
- Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA)
- Brek Trafik Melintas Belakang (RCTB)
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
- Bantuan Stereng Mengelak (ESA)
- Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
- Pengehad Kelajuan Aktif (ASL)
- Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
- Brek Multi-Perlanggaran (MCB)
- Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELK)
Sempena pelancaran ini, Omoda Jaecoo Malaysia memperkenalkan pakej pelancaran khas yang berlangsung dari 5 hingga 15 Mac 2026, merangkumi insentif berikut:
- Rebat Duit Raya sebanyak RM 3,000
- Insurans tahun pertama percuma atau tambahan Duit Raya sebanyak RM 3,000
- Pakej Trio Aksesori Kereta J5 bernilai RM 2,000
Pakej Trio Aksesori Kereta tersebut telah tersedia untuk pembeli “early-bird” dan terdiri daripada “subwoofer,” mikrofon karaoke tanpa wayar, dan lampu suluh pelbagai fungsi.
Kesemua model J5 dilindungi oleh waranti kenderaan selama 7 tahun / 150,000 km, yang mana terdahulu.





