Porsche Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP), sekali lagi kembali untuk mencari juara sim racing Malaysia yang seterusnya melalui Cabaran Pecutan Esports Porsche Malaysia (PESCM) 2026. Pendaftaran bagi kejohanan perlumbaan maya ini dibuka mulai hari ini, 13 Mac 2026, dan boleh dicapai melalui pescm.porsche.com.my. PESCM membayangkan siri perlumbaan one-make, Porsche Carrera Cup.
Porsche Malaysia, yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP), sekali lagi kembali untuk mencari juara sim racing Malaysia yang seterusnya melalui Cabaran Pecutan Esports Porsche Malaysia (PESCM) 2026.
Pendaftaran bagi kejohanan perlumbaan maya ini dibuka mulai hari ini, 13 Mac 2026, dan boleh dicapai melalui pescm.porsche.com.my.
PESCM membayangkan siri perlumbaan one-make, Porsche Carrera Cup. Setiap peserta akan memandu jentera 911 GT3 Cup yang serupa dengan tetapan yang sama, termasuk stereng dan pedal yang realistik. Ini bermakna kejayaan bergantung sepenuhnya kepada kemahiran dan strategi peserta.
Bagi tahun 2026, kejohanan ini memperkenalkan kategori khusus wanita, sekaligus membuka peluang bagi wanita muda berusia 10 hingga 23 tahun untuk merasai pengalaman sukan permotoran dalam persekitaran yang menyokong. Ini mencerminkan komitmen Porsche dalam memperkasakan kepelbagaian dalam perlumbaan dan memberi inspirasi kepada golongan wanita untuk menceburi sukan permotoran.
Kategori PESCM 2026
- Junior Dreamers: 10 – 14 tahun
- Young Dreamers: 15 – 17 tahun
- Driven Dreamers: 18 – 23 tahun
- Female Dreamers: 10 – 23 tahun (kategori khusus wanita)
PESCM 2026 akan dijalankan menggunakan platform Assetto Corsa, menampilkan tiga pusingan kelayakan kalah mati dengan format yang berbeza. Peserta perlu mendaftar dan memilih Pusat Porsche untuk diwakili, yang akan menentukan lokasi kelayakan mereka bagi Kelayakan 2.
Pusingan Kelayakan 1
- Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur: 18 – 19 April 2026
- The Mall, Mid Valley Southkey, Johor Bahru: 25 – 26 April 2026
- Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang: 2 – 3 Mei 2026
30 pemandu terbaik dari setiap kategori di setiap lokasi kelayakan akan mara ke Kelayakan 2, yang akan diadakan di Pusat-Pusat Porsche di seluruh negara. Dari sana, 10 pemandu terpantas dari setiap Pusat Porsche akan mara ke Kelayakan 3 di Pavilion Bukit Jalil pada 4 hingga 5 Julai 2026.
Bagi melengkapkan musim ini, 10 pemandu terbaik bagi setiap kategori dari Kelayakan 3 akan bersaing dalam pusingan akhir kejohanan sewaktu Pusingan 9, 10 dan 11 perlumbaan sebenar Porsche Carrera Cup Asia di Litar Antarabangsa Sepang, dari 22 hingga 23 Ogos 2026.
Para peserta pasti ingin mencontohi jejak langkah Naquib Azlan, pemenang kategori Driven Dreamers pada tahun 2025, yang kini bersaing dalam kategori Pro Porsche Carrera Cup Asia di bawah Team Porsche Malaysia.


