Tesla Malaysia mengesahkan bahawa Tesla Model Y L akan dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan pada 1 April, berdasarkan teaser yang dimuat naik di Instagram rasmi syarikat itu. Dari segi dimensi, Model Y L lebih panjang dan tinggi berbanding Model Y standard, dengan panjang 4,976 mm (+179 mm), tinggi 1,668 mm (+44 mm) dan jarak
Tesla Malaysia mengesahkan bahawa Tesla Model Y L akan dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan pada 1 April, berdasarkan teaser yang dimuat naik di Instagram rasmi syarikat itu.
Dari segi dimensi, Model Y L lebih panjang dan tinggi berbanding Model Y standard, dengan panjang 4,976 mm (+179 mm), tinggi 1,668 mm (+44 mm) dan jarak roda 3,040 mm (+150 mm). Berat juga meningkat kepada 2,088 kg.
Walaupun lebih besar, Tesla mendakwa Model Y L mempunyai aerodinamik yang lebih baik dengan pekali seretan 0.216, lebih rendah berbanding Model Y biasa pada 0.22, hasil rekaan belakang baharu dan spoiler penutup but.
Ciri utama model ini ialah konfigurasi enam tempat duduk (2-2-2). Barisan kedua menggunakan tempat duduk individu dengan fungsi pemanas, pengudaraan serta perehat tangan boleh lipat, membolehkan laluan ke barisan ketiga.
Kedua-dua barisan kedua dan ketiga menyokong pelarasan serta lipatan elektrik. Dengan semua tempat duduk belakang dilipat, kapasiti kargo mencecah 2,539 liter.
Di bahagian hadapan, Model Y L menerima tempat duduk baharu dengan sokongan paha boleh laras. Antara penambahbaikan lain termasuk pengecas tanpa wayar berkuasa lebih tinggi, sistem audio 18 pembesar suara serta suspensi adaptif.
Dari segi kuasa, Model Y L mengekalkan konfigurasi dwi-motor pacuan semua roda. Tesla mendakwa jarak WLTP sehingga 681 km, pecutan 0-100 km/j dalam 5.0 saat dan kelajuan maksimum 201 km/j. Sokongan pengecasan adalah sehingga 250 kW DC dan 11 kW AC.
Di Malaysia, Model Y Long Range AWD ketika ini dijual pada harga RM242,450, menjadikan harga Model Y L dijangka berada sekitar RM240,000 hingga RM250,000 bergantung kepada kedudukan varian.
Maklumat lanjut termasuk harga rasmi akan diumumkan semasa pelancaran di Pavilion Kuala Lumpur pada 1 April.

