Chery Malaysia menyasarkan untuk mentakrifkan semula pengalaman pemilikan bagi pemilik kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) mereka melalui aplikasi mudah alih CarLinko yang baharu. Barisan model PHEV semasa jenama ini terdiri daripada Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. Kedua-dua model ini menawarkan jarak pemanduan gabungan yang mengagumkan sehingga 1,200 kilometer apabila dicas sepenuhnya dan dengan
Chery Malaysia menyasarkan untuk mentakrifkan semula pengalaman pemilikan bagi pemilik kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) mereka melalui aplikasi mudah alih CarLinko yang baharu.
Barisan model PHEV semasa jenama ini terdiri daripada Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. Kedua-dua model ini menawarkan jarak pemanduan gabungan yang mengagumkan sehingga 1,200 kilometer apabila dicas sepenuhnya dan dengan tangki petrol yang penuh.
Kini, aplikasi CarLinko mempertingkatkan lagi pengalaman tersebut melalui pemantauan yang lebih pintar, pengurusan tenaga, dan kemudahan harian menerusi ketersambungan yang lebih baik.
Melalui aplikasi ini, pemilik boleh mengaktifkan penyaman udara secara jauh sebelum memasuki kereta, mengesan lokasi kenderaan jika terlupa tempat letak kereta, dan menjadualkan pengecasan di rumah.
Ciri terakhir tersebut membolehkan pemilik menjadualkan pengecasan bateri di rumah melalui aplikasi, memudahkan pengecasan dilakukan pada waktu pilihan dan mengurus penggunaan elektrik dengan cekap.
Selain itu, aplikasi ini memberikan akses masa nyata kepada maklumat penting kenderaan seperti perbatuan, baki jarak pemanduan, tahap bateri dan petrol, maklumat tekanan tayar, serta data penggunaan bahan api.
Seterusnya, apabila tiba masanya untuk menyelenggara kenderaan Chery PHEV anda, aplikasi ini menyediakan jadual servis dan rekod servis terperinci, memberikan gambaran jelas tentang kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dilakukan setakat ini.
Pemilik sedia ada Chery PHEV boleh mengaktifkan aplikasi ini dengan mengunjungi pengedar sah Chery yang berdekatan, di mana proses pengesahan dan penyambungan selamat dengan kenderaan akan dijalankan. Bagi pemilik baharu, aplikasi tersebut akan diaktifkan dan disambungkan semasa proses penyerahan kenderaan.
Aplikasi CarLinko boleh dimuat turun daripada Google Play Store untuk peranti Android atau Apple App Store untuk peranti iOS.


