BYD Seal 6 DM-i telah dilancarkan di Singapura, ditawarkan dalam dua gaya badan iaitu sedan dan Touring wagon. Tiga varian ditawarkan secara keseluruhan. Seal 6 DM-i sedan hadir dalam varian Dynamic dan Premium, masing-masing berharga SGD 188,888 dan SGD 196,888. Sementara itu, Seal 6 DM-i Touring ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Dynamic, dengan harga
Berdasarkan kadar tukaran semasa artikel ini ditulis, harga tersebut bersamaan sekitar RM 590k untuk sedan Dynamic, RM 615k untuk sedan Premium dan RM 603k untuk Touring wagon.
Kesemua varian menggunakan sistem plug-in hybrid (PHEV) DM-i BYD dengan enjin petrol 1.5 liter dan pacuan roda hadapan. Varian Dynamic sedan dan Touring menghasilkan output gabungan 174 hp dan 210 Nm, manakala sedan Premium menghasilkan 219 hp dan 260 Nm. Kelajuan maksimum bagi semua varian ialah 180 km/j.
Varian Dynamic sedan dan Touring dilengkapi bateri 10.08 kWh, manakala sedan Premium menerima bateri lebih besar 19 kWh. Jarak elektrik mengikut kitaran WLTP ialah 55 km untuk Dynamic sedan, 105 km untuk Premium sedan dan 50 km untuk Touring.
Keupayaan pengecasan juga berbeza mengikut varian. Dynamic sedan dan Touring menyokong pengecasan AC pada kadar 3.3 kW, manakala Premium sedan menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan DC 27 kW.
Dari segi luaran, Seal 6 DM-i menggunakan bahasa rekaan Ocean Aesthetics BYD, dengan rekaan hadapan Ocean X, lampu utama double-L serta garisan badan yang lebih sculpted. Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Palm Green (Pine Green untuk Touring), Cosmos Black, Atlantis Grey, Arctic White dan Beach Beige.
Di bahagian dalaman, semua varian hadir dengan paparan instrumen 8.8 inci, tempat duduk synthetic leather, skrin infotainmen 12.8 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, corong pendingin hawa belakang, kemasukan tanpa kunci serta butang start/stop.
Varian Premium sedan menambah ciri seperti tempat duduk hadapan berventilasi, fungsi memori untuk pemandu, sistem audio lapan pembesar suara, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau dan bumbung suria. Varian Touring pula menerima beberapa kelengkapan luaran premium seperti trim stainless steel pada bahagian atas tingkap sisi.
Walaupun Seal 6 EV sudah dijual di Malaysia, Seal 6 DM-i ini merupakan model plug-in hybrid berasingan yang berasaskan Seal 06 dari siri Ocean BYD, dan bukannya Seal 6 EV pasaran Malaysia.
BYD Malaysia sebelum ini telah mengesahkan rancangan untuk memperkenalkan trenkuasa plug-in hybrid Super Dual Mode ke pasaran tempatan, namun ketiadaan insentif khusus untuk PHEV mungkin menjadi antara sebab mengapa model DM-i masih belum diperkenalkan di sini, walaupun ia berada dalam perancangan. Sama ada Seal 6 DM-i sedan atau Touring akan menyertai barisan model Malaysia masih belum dapat dipastikan.


