Ramai peminat menjangkakan model Denza D9 GT yang anggun bakal melengkapkan barisan model jenama itu di Malaysia, namun nampaknya kita perlu menunggu sedikit lagi. Ini kerana saudaranya, Denza B8 PHEV, sebuah SUV tiga baris dengan struktur “ladder-frame” bakal dilancarkan lebih awal dan anda boleh menyaksikannya dengan lebih dekat di ruang legar utama Bangsar Shopping Centre
Denza kini telah mula menerima pendaftaran minat, memberi petunjuk bahawa pelancarannya akan berlaku dalam masa terdekat bagi menyertai model MPV elektrik sepenuhnya (BEV), Denza D9, yang sudah berada di pasaran tempatan.
B8 merupakan sebuah SUV “ladder-frame” sejati yang dilengkapi dengan segala kelengkapan untuk prestasi “off-road” yang mantap. Menampung struktur “ladder-frame” tersebut adalah sistem *Sustensi Kawalan Badan Hidraulik Pintar DiSus-P* milik Denza.
Denza mempunyai beberapa versi suspensi aktif dan DiSus-P merupakan versi yang paling canggih setakat ini. Ia membolehkan keupayaan “off-road” yang tinggi melalui pelarasan ketinggian suspensi sehingga 200 mm, serta pemasangan spring hidraulik pada setiap roda untuk bertindak balas terhadap permukaan jalan.
Sistem ini berupaya menyesuaikan diri secara aktif dan berterusan berdasarkan pemboleh ubah luaran seperti bentuk muka bumi, kelajuan, dan dinamik kenderaan.
Ini berbeza dengan sistem DiSus-C yang lebih maju pada MPV D9 yang merupakan satu-satunya model jenama itu di sini buat masa ini. DiSus-C adalah versi paling asas yang berfungsi menyamai penyerap hentak redaman boleh laras dengan injap kawalan elektronik untuk melaras kadar redaman.
Denza melabelkan gaya reka bentuk lasak ini sebagai “Starship Mecha,” sebuah penampilan teguh yang memberikan imej yang cukup menggerunkan.
Berbeza dengan D9 yang merupakan elektrik sepenuhnya, B8 menggunakan rangkaian kuasa PHEV DMO (Dual Mode Off-Road) Super Hybrid. Ia menggabungkan enjin petrol 2.0-liter empat silinder pengecas turbo dengan dwi-motor elektrik untuk sistem pacuan semua roda.
Secara berasingan, enjin petrol tersebut menghasilkan 197 PS dan 250 Nm. Motor elektrik hadapan pula menyumbang 271 PS dan 360 Nm tork, manakala motor di bahagian belakang menghasilkan 408 PS dan 400 Nm tork. Secara keseluruhan, jentera ini menghasilkan kuasa sebanyak 578 PS dan 760 Nm tork.
Bateri Blade LFP berkapasiti 36.8 kWh membekalkan tenaga kepada motor elektrik, yang turut memberikan jarak gerak elektrik sepenuhnya sehingga 115 km. Antara mod pemanduan yang tersedia termasuklah Pure EV, HEV Series dan HEV Parallel yang berfungsi secara pintar untuk memacu B8 ke hadapan.
Para pembaca mungkin lebih mengenali model B8 ini dengan nama asalnya di pasaran domestik China iaitu Fang Cheng Bao 8 di bawah jenama BYD. Walau bagaimanapun, ia telah dijenamakan semula di bawah lencana premium Denza untuk pasaran eksport bagi mencerminkan kedudukannya sebagai kenderaan mewah.
Harga jualan dijangka berada dalam lingkungan harga model MPV D9, yang kini dijual antara RM 299,000 hingga RM 355,000 bagi dua varian yang ditawarkan di Malaysia.




