Syarikat tenaga Jepun, Eneos, telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan downstream bahan api dan pelincir Chevron di beberapa pasaran Asia Tenggara dan Australia, termasuk Malaysia. Pengambilalihan ini merangkumi perniagaan Chevron di Singapura, Malaysia, Filipina, Australia, Vietnam dan Indonesia. Ia turut melibatkan pegangan 50% Chevron Singapore dalam Singapore Refining Company. Untuk Malaysia, ini bermaksud Eneos
Syarikat tenaga Jepun, Eneos, telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih perniagaan downstream bahan api dan pelincir Chevron di beberapa pasaran Asia Tenggara dan Australia, termasuk Malaysia.
Pengambilalihan ini merangkumi perniagaan Chevron di Singapura, Malaysia, Filipina, Australia, Vietnam dan Indonesia. Ia turut melibatkan pegangan 50% Chevron Singapore dalam Singapore Refining Company.
Untuk Malaysia, ini bermaksud Eneos akan mengambil alih Chevron Malaysia Limited, syarikat yang mengendalikan perniagaan Caltex di negara ini. Berdasarkan laporan, ini melibatkan lebih 450 stesen minyak Caltex di seluruh Malaysia.
Urus niaga ini akan dilaksanakan melalui sebuah special purpose vehicle (SPV) yang ditubuhkan di Singapura oleh Eneos Holdings. Nilai pengambilalihan tersebut adalah USD 2.17 bilion, atau sekitar RM 8.5 bilion. Transaksi ini dijangka selesai pada 2027, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan syarat penutupan.
Walaupun berlaku pengambilalihan, jenama Caltex dijangka akan dikekalkan. Eneos menyatakan bahawa jenama Caltex merupakan aset perniagaan yang penting, dan pihaknya komited untuk mengekalkan serta memperkukuhkan lagi nilai jenama tersebut.
Menurut Eneos, pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi penstrukturan semula portfolio syarikat itu, dengan fokus kepada pengukuhan perniagaan bahan api di luar Jepun. Syarikat itu turut menyatakan bahawa permintaan petroleum di Jepun semakin menurun, manakala permintaan di Asia Tenggara dijangka terus berkembang.
Chevron pula menyatakan bahawa perjanjian ini mencerminkan pendekatannya dalam mengurus portfolio antarabangsa, sambil menambah bahawa ia akan menyokong peralihan secara teratur apabila pasukannya bersedia untuk menyertai Eneos.
Buat masa ini, pengguna di Malaysia tidak perlu menjangkakan penjenamaan semula segera stesen Caltex kepada Eneos. Transaksi ini masih memerlukan kelulusan kawal selia, dan Eneos telah menjelaskan bahawa nama Caltex akan terus memainkan peranan penting selepas pengambilalihan tersebut.

