Model kedua Denza Malaysia di negara ini telah dilancarkan secara rasmi. Denza B8, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) dengan kerangka ‘ladder-frame’ dan konfigurasi tiga baris tempat duduk, akan dijual pada harga bermula RM 458,800. Di pasaran tempatannya di China, B8 dijual di bawah sub-jenama kenderaan lasak (off-roader) BYD sebagai Fang Cheng Bao B8. Model ini
Model kedua Denza Malaysia di negara ini telah dilancarkan secara rasmi. Denza B8, sebuah SUV plug-in hybrid (PHEV) dengan kerangka ‘ladder-frame’ dan konfigurasi tiga baris tempat duduk, akan dijual pada harga bermula RM 458,800.
Di pasaran tempatannya di China, B8 dijual di bawah sub-jenama kenderaan lasak (off-roader) BYD sebagai Fang Cheng Bao B8. Model ini merupakan sebuah SUV tulen berstruktur “body-on-frame” yang boleh didapati dalam konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk untuk ketiga-tiga barisannya.
Untuk pasaran tempatan, kita ditawarkan kedua-dua pilihan tersebut melalui varian Dynamic 7-tempat duduk dan varian mercu Premium 6-tempat duduk. Perincian harga adalah seperti berikut:
- B8 Dynamic – RM 458,800
- B8 Premium – RM 518,800
Kedua-dua varian dilengkapi dengan pakej sokongan komprehensif yang merangkumi waranti selama 6 tahun/150,000 km, 7 sesi penyelenggaraan berjadual percuma, dan waranti selama 8 tahun untuk komponen hibrid.
Rangkaian kuasa Dual Mode Off-Road (DMO) model ini terdiri daripada enjin hibrid khusus 2.0-liter pengecas turbo empat silinder sebaris yang menghasilkan 197 PS dan tork 350 Nm. Ia digandingkan bersama dua motor elektrik yang dipasang pada setiap gandar. Unit hadapan menghasilkan 272 PS dan tork 360 Nm, manakala unit belakang menjana 408 PS dan tork 400 Nm.
Gabungan keseluruhan sistem ini menghasilkan kuasa output maksimum sebanyak 578 PS dan tork 760 Nm, sekali gus membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 kph dalam masa 4.8 saat.
Bateri Blade berkapasiti 36.8 kWh membekalkan kuasa kepada motor elektrik dan menawarkan jarak pemanduan elektrik sekitar 100 km di bawah kitaran WLTP. Dengan tangki bahan api berkapasiti 91 liter dan bateri yang dicas penuh, B8 mampu mencapai jarak perjalanan keseluruhan sejauh 905 km.
Pengecasan bateri menyokong pengecasan pantas (DC) sehingga 120 kW, manakala pengecasan arus ulang-alik (AC) standard adalah 11 kW. Ia juga menyokong fungsi ‘vehicle-to-load’ (V2L) sehingga 6.6 kW.
Antara ciri utama B8 ialah sistem suspensi hidraulik DiSus-P yang menawarkan pelarasan ketinggian pemanduan sehingga 140 mm. Ciri ini membolehkan kedalaman redaman air standard meningkat daripada 800 mm kepada 890 mm. Meningkatkan ketinggian kenderaan juga menaikkan sudut pendekatan (approach angle) dan sudut pelepasan (departure angle) masing-masing kepada 34 dan 35 darjah. Ketinggian suspensi ini juga boleh dinaikkan atau diturunkan dari bahagian ruang but.
Dari segi dimensi, ia berukuran 5,195 mm panjang, 1,994 mm lebar, dan 1,905 mm tinggi dengan jarak roda 2,920 mm. Ini menjadikan saiz B8 lebih besar berbanding GWM Tank 500 yang sedia gah. Ia dilengkapi dengan rim aloi 20 inci berwarna hitam dengan reka bentuk jejari-Y, iaitu satu inci lebih kecil berbanding spesifikasi yang ditawarkan di China.
Menjengah ke bahagian dalaman, ruang kabin B8 ditawarkan dengan pilihan upholsteri kulit berwarna Jasper Brown atau Onyx Black. Terdapat paparan infohibur skrin sentuh gergasi bersaiz 17.3 inci, bersama kluster instrumen digital 12.3 inci untuk pemandu.
Kemudahan kabin yang lain termasuk dua pengecas tanpa wayar Qi 50 W, tempat duduk hadapan boleh laras kuasa elektrik (dengan fungsi pemanas, pengudaraan, dan urutan), ruang simpanan rehat lengan dengan fungsi pemanas dan penyejuk (peti sejuk mini), serta sistem audio Devialet dengan 18 pembesar suara. Bagi memberikan impak dramatik, tombol gear akan naik secara automatik apabila B8 dihidupkan, diiringi oleh suis seumpama kristal untuk pelbagai fungsi rangkaian kuasa.
Varian mercu Premium menerima tempat duduk “captain’s chair” baris kedua dengan fungsi urutan dan sokongan kaki (ottoman), serta kemasan upholsteri kulit Nappa.
Bagi varian Dynamic, tempat duduk baris kedua boleh disandarkan secara elektrik serta dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan. Malah, terdapat suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang mengawal tingkap atau bidai bumbung suria di bahagian bertentangan.
Secara amnya, tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat atau ditegakkan secara elektrik, di mana ruang but boleh ditingkatkan daripada minimum 147 liter kepada maksimum 920 liter (902 liter untuk varian enam tempat duduk).
Anda boleh melihat B8 secara dekat di ruang legar utama Bangsar Shopping Centre dari 22 hingga 24 Mei 2026.






