Denza Z9 GT versi pacuan kanan (right-hand drive) telah dipratonton di Malaysia sempena Sime Motors MotorExpo. Berdasarkan maklumat yang kami terima, Denza Z9 GT dijangka dilancarkan sekitar Julai atau Ogos, dengan anggaran harga melebihi RM360k tetapi di bawah Denza B8, yang kini berharga dari RM460k hingga RM520k. Namun, Denza Malaysia masih belum mengesahkan harga atau
Model yang dipratonton ini dilihat sebagai versi 2026 terkini, dengan sensor lidar pada bumbung serta rim aloi Y-spoke 20 inci baharu yang dibalut tayar Continental EcoContact 7. Dari segi rekaan, Z9 GT mengekalkan profil shooting brake yang panjang dan rendah, dengan lampu utama LED dual-bar, dan lampu belakang lebar dengan grafik hourglass.
Di bawah badan, Z9 GT menggunakan susun atur pacuan semua roda tiga motor. Motor hadapan menghasilkan 313 PS dan 430 Nm, manakala setiap satu daripada dua motor belakang menghasilkan 422 PS dan 400 Nm. Output keseluruhan sistem ialah 1,156 PS dan 1,210 Nm, membolehkan Z9 GT memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.7 saat. Kelajuan maksimum pula dinilai pada 269 km/j.
Z9 GT juga merupakan model pertama yang dijual secara global menggunakan bateri BYD Blade LFP generasi kedua. Kapasiti bateri ialah 122.49 kWh, memberikan wagon elektrik ini jarak WLTP sejauh 600 km.
Salah satu sorotan terbesar ialah teknologi BYD Flash Charging. Dengan pengecas DC berkuasa tinggi yang serasi, Z9 GT dilaporkan boleh dicas dari 10 hingga 70% dalam lima minit, atau dari 10 hingga 97% dalam sembilan minit.
Di bahagian dalaman, model 2026 ini menerima stereng tiga jejari flat-bottomed baharu, gear selector pada steering column dan konsol tengah yang direka semula secara ringan dengan kawalan fizikal yang diposisikan semula serta ruang simpanan tambahan.
Kabin masih menampilkan skrin infotainmen 17.3 inci, head-up display augmented reality 50 inci, serta dua paparan 13.2 inci untuk pemandu dan penumpang hadapan.
Kelengkapan lain termasuk upholsteri kulit fine-grade, kemasan kayu light-smoked, tempat duduk hadapan berkuasa dengan pemanas, ventilasi dan fungsi urutan, serta active side bolsters. Tempat duduk belakang juga dilengkapi pelbagai ciri, termasuk leg rest yang dipanjangkan.
Z9 GT turut menerima peti sejuk terbina di hadapan dan belakang, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik empat zon, tiga pengecas tanpa wayar 50W dan sistem audio Devialet 20 pembesar suara dengan output 1,150 watt serta Dolby Atmos surround sound.
Ruang but belakang dinilai pada 495 liter, manakala ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 53 liter turut disediakan.


