All-new 2026 Lexus ES nampaknya bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, dengan sales advisor mula berkongsi bahan promosi untuk sedan mewah generasi kelapan itu.
Walaupun Lexus Malaysia masih belum menerbitkan spesifikasi penuh atau harga rasmi di laman webnya, bahan yang dikongsikan oleh sales advisor menunjukkan ES baharu ini akan ditawarkan di Malaysia sebagai ES 350h Luxury.
Menurut senarai harga anggaran bertarikh 7 Julai 2026 yang sedang dikongsikan, Lexus ES 350h Luxury akan diimport sepenuhnya (CBU) dan disenaraikan untuk Semenanjung Malaysia pada harga RM 366,888 atas jalan tanpa insurans bagi pendaftaran individu persendirian.

Senarai harga yang sama turut menunjukkan kapasiti enjin 2,487 cc, yang merujuk kepada rangkaian kuasa hybrid 2.5 liter yang digunakan pada ES 350h global.
Senarai harga itu juga menyatakan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, bersama waranti hybrid electric selama lapan tahun tanpa had perbatuan.
Ini agak menarik kerana Australia baru sahaja mengumumkan barisan all-new ES dengan varian elektrik ES 350e dan ES 500e dilancarkan terlebih dahulu, sebelum disertai ES 300h hybrid pada penghujung tahun ini.

Namun, jadual spesifikasi global Lexus untuk ES baharu memang menyenaraikan varian ES 350h, jadi nama varian untuk pasaran Malaysia ini bukan sesuatu yang pelik. Buat masa ini, masih tiada petunjuk sama ada Malaysia akan menerima varian elektrik ES 350e atau ES 500e bersama ES 350h.
Secara global, all-new ES kini memasuki generasi kelapan dan dibina di atas platform multi-pathway baharu berasaskan seni bina GA-K. Platform ini menyokong rangkaian kuasa hybrid dan elektrik bateri, menandakan perubahan besar untuk keluarga ES.
ES baharu ini juga lebih besar berbanding sebelum ini, dengan ukuran 5,140 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,555 mm tinggi dalam bentuk hybrid, bersama jarak roda 2,950 mm. Ini menjadikannya 165 mm lebih panjang, 55 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi berbanding model terdahulu, manakala jarak roda pula meningkat 80 mm.

Untuk ES 350h global, Lexus menyenaraikan sistem hybrid empat silinder 2.5 liter naturally aspirated dengan output gabungan 182 kW, atau sekitar 247 PS. Masa pecutan 0 hingga 100 km/j disenaraikan antara 7.8 hingga 8.0 saat, bergantung kepada spesifikasi.
Dari segi reka bentuk, all-new ES menggunakan pendekatan rekaan “Clean Tech x Elegance” terbaharu Lexus, dengan bahagian hadapan lebih kemas, lampu lebih nipis, profil sedan yang lebih mengalir dan interpretasi baharu kepada wajah hadapan spindle-shaped.
Di dalam, ES baharu mendapat kabin yang direka semula sepenuhnya dengan paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh tengah 14.0 inci. Lexus juga memperkenalkan responsive hidden switches, yang kekal tersembunyi secara visual sehingga pengguna mendekatkan jari atau menyentuhnya.
Bahan promosi yang sedang dikongsikan secara tempatan turut menyerlahkan Lexus Safety System+ 4.0, sistem bunyi Mark Levinson, Lexus Teammate dan Park Assist.