Sebuah fasiliti sukan permotoran peribadi baharu bakal dilancarkan di Johor tidak lama lagi, sekaligus membuka satu lagi dimensi pembangunan di wilayah Iskandar Puteri yang sedang pesat membangun. Litar baharu serta kemudahan sokongannya ini merupakan sebahagian daripada pembangunan Sunway Iskandar Puteri dan dinamakan sempena pengasas kumpulan tersebut sebagai ‘Litar Jeffrey Cheah.’ Kedudukan Johor yang strategik dan
Kedudukan Johor yang strategik dan berhampiran dengan Singapura menjadikan negeri ini pilihan logik bagi pembukaan litar sukan permotoran peribadi. Ia bukan sahaja memenuhi permintaan peminat automotif tempatan, malah menjadi penyelesaian buat komuniti peminat kereta di Singapura yang sering menghadapi kekangan ruang untuk memandu jentera mereka pada tahap maksimum secara sah.
Laman web rasmi litar tersebut kini telah mula beroperasi bagi rujukan umum.
Walaupun terdapat laporan daripada beberapa portal berita yang menyifatkan litar ini sebagai litar bertaraf Formula 1 (F1), maklumat tersebut adalah salah. Melalui kenyataan di laman Facebook rasmi mereka, pihak pengurusan menegaskan bahawa ia bukanlah sebuah litar perlumbaan F1, sebaliknya merupakan sebuah litar pemanduan maju yang dibina khusus untuk penggemar kelajuan, selain bakal menjadi lokasi penganjuran projek komuniti seperti acara jalan kaki merentas desa dan maraton.
Berdasarkan lakaran reka bentuk, Litar Jeffrey Cheah bakal mempunyai empat konfigurasi utama:
- Konfigurasi Penuh – 4.5 km dengan 23 selekoh
- Gelung Luar (Outer Loop) – 2.38 km dengan 11 selekoh
- Bahagian Kiri – 2.4 km dengan 13 selekoh
- Bahagian Kanan – 2.1 km dengan 11 selekoh
Seperti fasiliti sukan permotoran peribadi terkemuka lain, Litar Jeffrey Cheah berhasrat untuk setanding dengan “Monticello Motor Club” atau “Ascari Club” di Asia. Selain litar utama, fasiliti ini akan dilengkapi dengan 10 garaj, “skid pad,” bilik kawalan, serta gudang penyimpanan kenderaan.
Para tetamu juga akan mendapat akses kepada bilik simulator pemanduan, ruang rehat VIP, ruang makan, serta bilik mesyuarat untuk sesi taklimat. Pembangunan ini merupakan sebahagian daripada projek terbaharu Kumpulan Sunway di Johor, iaitu Sunway City Iskandar Puteri, yang meliputi kawasan seluas 2,000 ekar dengan nilai pembangunan melebihi RM30 bilion.
Johor, dan Malaysia secara amnya, bukanlah asing dalam pembangunan litar permotoran peribadi. Pada tahun 2016, projek “Fastrack City” di Iskandar Johor pernah dirancang dengan litar sepanjang 4.45 km, namun projek tersebut kini ditangguhkan.
Manakala pada tahun 2021, timbul laporan mengenai pembangunan litar bertaraf antarabangsa di Langkawi, yang dikenali sebagai “Open Road International Circuit & Integrated Resorts” (ORIC), namun status pembangunannya kini sepi tanpa perkembangan lanjut.
Bagaimanapun, memandangkan projek ini berada di bawah naungan Kumpulan Sunway, jangkaan adalah tinggi bahawa Litar Jeffrey Cheah bakal menyaksikan deruman enjin di litar lurusnya menjelang akhir tahun 2026.



