Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan syarat berkaitan pelan pemasangan tempatan (CKD) BYD di Tanjung Malim, susulan kekeliruan yang timbul di media sosial dan laporan sebelum ini. Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa BYD mungkin menilai semula pelaburannya kerana syarat yang dikenakan, termasuk keperluan mengeksport 80% pengeluaran serta mengehadkan jualan
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan syarat berkaitan pelan pemasangan tempatan (CKD) BYD di Tanjung Malim, susulan kekeliruan yang timbul di media sosial dan laporan sebelum ini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa BYD mungkin menilai semula pelaburannya kerana syarat yang dikenakan, termasuk keperluan mengeksport 80% pengeluaran serta mengehadkan jualan tempatan kepada 20% dengan harga melebihi RM 200,000. MITI menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak tepat.
Menurut kementerian, BYD telah diberikan Lesen Pembuatan (ML) sementara pada 29 September 2025 untuk pemasangan kenderaan cekap tenaga (EEV), termasuk EV dan plug-in hybrid (PHEV) di Tanjung Malim. Kelulusan ini adalah berdasarkan model pengeluaran berorientasikan eksport, selaras dengan strategi perindustrian negara.
MITI menegaskan bahawa syarat yang dikenakan bukan khusus kepada BYD, sebaliknya merupakan pendekatan standard bagi semua pelaburan automotif baharu bermula September 2025, kecuali bagi pengeluar yang menggunakan fasiliti pemasangan sedia ada.
Di bawah rangka kerja ini, jualan domestik ditetapkan pada 10,000 unit atau 20% daripada kapasiti pengeluaran. Namun, MITI menjelaskan bahawa ini bukan sekatan, sebaliknya satu struktur pengeluaran yang dipersetujui bersama dengan keutamaan kepada eksport.
MITI turut menjelaskan bahawa harga minimum atas jalan bagi kenderaan CKD BYD adalah RM 100,000, bukannya RM 200,000 seperti yang didakwa sebelum ini. Antara syarat lain termasuk keperluan aktiviti pembuatan nilai tambah dalam negara seperti operasi body shop, cat dan trim, bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan serta pemindahan teknologi.
Menurut MITI, dasar ini dirangka untuk memastikan penjajaran dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), di samping menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dan mengelakkan gangguan kepada pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, MITI turut memaklumkan bahawa dasar harga minimum RM 250,000 bagi kenderaan import sepenuhnya (CBU) sedang dikaji semula. Sebelum ini, kerajaan telah menurunkan had harga minimum kepada RM100,000 dari tahun 2022 hingga 31 Disember 2025 bagi menggalakkan penggunaan EV, sambil memberi ruang kepada pengeluar tempatan membangunkan keupayaan mereka.
MITI menegaskan bahawa strategi jangka panjang adalah untuk mengutamakan pembuatan dan pemasangan tempatan, bukan kebergantungan kepada import. Kementerian itu juga menafikan dakwaan bahawa terdapat larangan terhadap import model pikap baharu seperti BYD Shark atau GWM Cannon, dengan menjelaskan bahawa import CBU masih dibenarkan dalam kuota terhad tertakluk kepada keperluan penyetempatan.
MITI menegaskan bahawa pendekatan yang diambil bukan bersifat proteksionis, sebaliknya bertujuan pembangunan industri, termasuk mengukuhkan ekosistem vendor dan menarik pelaburan jangka panjang bernilai tinggi. Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan automotif asing, termasuk dari China, dengan 14 daripada 34 jenama asing di pasaran tempatan berasal dari negara tersebut.

