Hyundai Motor Malaysia telah mengumumkan bahawa tempahan bagi model pemenang anugerah, Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N, kini telah dibuka, sempena penampilan Ioniq 5 N di Penang Autoshow 2026 yang beakhir hari ini. Pemenang World Performance Car 2024, Ioniq 5 N, serta Ioniq 6 N, membentuk barisan rangkaian model N Hyundai di Malaysia. Orang
Hyundai Motor Malaysia telah mengumumkan bahawa tempahan bagi model pemenang anugerah, Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N, kini telah dibuka, sempena penampilan Ioniq 5 N di Penang Autoshow 2026 yang beakhir hari ini.
Pemenang World Performance Car 2024, Ioniq 5 N, serta Ioniq 6 N, membentuk barisan rangkaian model N Hyundai di Malaysia. Orang ramai berpeluang untuk melihat secara dekat kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi ini sepanjang pameran tersebut berlangsung.
Anggaran harga bagi kedua-dua model tersebut adalah sekitar RM 450,000 dan RM 460,000. Setiap tempahan akan disertakan dengan barangan eksklusif rasmi Hyundai N bernilai RM 2,000.
Kereta-kereta ini adalah unit bina-atas-tempahan (built-to-order) dan tempahan boleh dibuat melalui pengedar sah Hyundai N iaitu Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd (Tengah), Goh Brothers Motor Sdn Bhd (Utara) dan Heng Lian Enterprise Bhd (Malaysia Timur).
Sebagai pemenang peringkat global, Ioniq 5 N menyangkal tanggapan bahawa kenderaan elektrik tidak mampu memberikan pengalaman pemanduan yang mengujakan, seperti yang dibuktikan melalui anugerah yang dimenanginya pada tahun 2024. Ia dilengkapi dengan casis yang ditala untuk litar lumba serta perkakasan khusus N yang menghasilkan 650 PS. Model ini mampu memecut dari 0 ke 100kph dalam masa hanya 3.4 saat dengan kelajuan tertinggi mencecah 260kph.
Dalam pada itu, model kembarnya, Ioniq 6 N, juga tidak kurang hebatnya setelah dinobatkan sebagai World Performance Car 2026. Dengan kuasa 650 PS, ia memendekkan pecutan 0 ke 100 kph kepada 3.2 saat, walaupun kelajuan tertingginya sedikit rendah pada 257 kph.
Selain pameran di wilayah utara tersebut, Hyundai Motor Malaysia turut mengalu-alukan rakan pengedar sah baharu mereka di rantau berkenaan, iaitu Goh Brothers Motor Sdn Bhd. Reruai mereka di pameran tersebut akan menampilkan barisan penuh kenderaan Hyundai termasuk model Santa Fe, Tucson dan Staria, di samping Ioniq 5 N.
Hyundai Motor Malaysia turut menawarkan tawaran dan aktiviti eksklusif sepanjang pameran, termasuk kempen pandu uji untuk memenangi bola replika rasmi FIFA dan jersi Hyundai. Jenama ini juga melanjutkan kempen FIFA World Cup Global Test Drive ke seluruh negara sehingga 3 Mei 2026. Ini merupakan peluang terakhir bagi pelanggan untuk memandu uji mana-mana model Hyundai dan berpeluang memenangi perjalanan untuk dua orang bagi menyaksikan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Norway dan Perancis secara langsung.


