Kia Sales Malaysia (KSM) mempamerkan Kia K4 di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), namun syarikat itu masih belum mengesahkan sama ada sedan ini akan dilancarkan di Malaysia. K4 merupakan pengganti kepada Forte dan Cerato, yang sebelum ini turut dikenali sebagai K3 di beberapa pasaran. Nama K3 kini digunakan untuk sedan segmen-B baharu
Kia Sales Malaysia (KSM) mempamerkan Kia K4 di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026), namun syarikat itu masih belum mengesahkan sama ada sedan ini akan dilancarkan di Malaysia.
K4 merupakan pengganti kepada Forte dan Cerato, yang sebelum ini turut dikenali sebagai K3 di beberapa pasaran. Nama K3 kini digunakan untuk sedan segmen-B baharu Kia, manakala K4 diletakkan dalam segmen sedan-C.
K4 mula diperkenalkan secara global pada Mac 2024 sebagai sedan, sebelum menerima versi hatchback pada September 2025 dan versi Sportswagon pada Januari tahun ini. Model yang dipamerkan di KLIMS 2026 ialah versi sedan.
Dari segi dimensi, K4 berukuran 4,710 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm. Ini menjadikannya lebih besar daripada Honda Civic dari segi saiz keseluruhan, walaupun Civic mempunyai jarak roda yang sedikit lebih panjang.
Unit yang dipamerkan di Malaysia ialah varian GT-Line. Ia menggunakan bahasa rekaan semasa Kia, termasuk lampu signature star map, lampu utama projektor LED berbentuk cube kecil dan interpretasi moden kepada reka bentuk Tiger Face.
K4 juga tampil dengan profil fastback, bahagian belakang yang lebih menonjol di sekitar roda dan bampar belakang dengan diffuser terbina. Sebagai model GT-Line, ia menerima bampar hadapan dan belakang lebih sporty, kemasan gloss black, garis satin chrome, penutup cermin sisi gloss black, kemasan tingkap gloss black dan side sill gloss black.
Kereta yang dipamerkan di KLIMS menggunakan rim aloi 18 inci dengan tayar bersaiz 235/40. Suspensinya pula terdiri daripada MacPherson strut di hadapan dan multi-link di belakang.
Di dalam, K4 mendapat dashboard dua tingkat dengan susun atur paparan lebar. Ini merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci, paparan kawalan pendingin hawa 5 inci dan skrin infotainment 12.3 inci.
Kelengkapan yang ditunjukkan termasuk wireless Android Auto dan Apple CarPlay, wireless charger, pendingin hawa dwi-zon, tempat duduk hadapan berventilasi dan tempat duduk belakang lipat 60:40.
Kuasa datang daripada enjin petrol Smartstream G 1.6 liter turbo empat silinder sebaris yang menghasilkan 193 PS dan 265 Nm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan kuasa dihantar ke roda hadapan.


