Jaecoo J5 EV telah dipratonton di Malaysia minggu lalu, menjelang pengenalan tempatannya yang dijangka berlangsung lewat tahun ini. SUV elektrik ini bakal hadir dalam bentuk pemasangan tempatan CKD dari mula pelancaran, menyertai Jaecoo J5 petrol yang telah diperkenalkan awal tahun ini.
Untuk Malaysia, J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 211 PS dan 288 Nm tork. Ini membolehkan SUV elektrik tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat, dengan kelajuan maksimum 175 km/j.
J5 EV spesifikasi Malaysia menggunakan bateri CATL LFP 58.9 kWh, lebih besar berbanding bateri yang digunakan untuk model pasaran Thailand. Ia menawarkan jarak pemanduan WLTP sejauh 402 km.
Pengecasan pantas DC menyokong sehingga 130 kW, membolehkan bateri dicas dari 30 hingga 80% dalam 28 minit. Pengecasan AC pula dinilai sehingga 11 kW, dan J5 EV turut hadir dengan fungsi vehicle-to-load (V2L).
J5 EV menggunakan suspensi MacPherson strut di hadapan dan multilink di belakang, sama seperti model petrol. Bagaimanapun, suspensinya telah ditala semula bagi menampung berat tambahan daripada rangkaian kuasa elektrik. Jarak kelegaan tanah kekal pada 175 mm.
Dari segi luaran, versi EV mendapat beberapa perubahan untuk membezakannya daripada J5 petrol. Ini termasuk gril hadapan tertutup, bukaan udara bawah berbentuk segi empat dengan active shutter, bahagian hadapan body-coloured berlubang, lencana BEV dan rim 18 inci dua tona gaya aero. Port pengecasan pula terletak pada fender hadapan sebelah pemandu dan dibuka secara elektrik.
Di dalam, susun atur kabin secara keseluruhan banyak dibawa daripada J5 petrol. Versi EV menerima papan pemuka minimalis, skrin infotainment menegak 13.2 inci, paparan instrumen digital 8.88 inci dan konsol tengah gaya waterfall.
J5 EV juga mengekalkan pendekatan pet-friendly Jaecoo. Ciri yang ditawarkan termasuk upholsteri kulit tiruan diperakui TUV yang bersifat anti-bakteria, tahan calar dan rendah VOC, serta Pet Mode yang mengekalkan operasi penyaman udara apabila kenderaan dikunci. Camping Mode turut disertakan.
Ruang but belakang berkapasiti 480 liter, sama seperti model petrol, manakala versi EV menambah frunk 35 liter di hadapan.
Kelengkapan dijangka hampir sama dengan J5 petrol. Ini termasuk tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan ventilasi, cermin sisi hadapan double-glazed, bumbung kaca panoramik besar, penyaman udara automatik dwizon, wireless Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar 50 watt, kamera 360 darjah dengan paparan transparent view dan tailgate berkuasa.
Kelengkapan keselamatan juga dijangka dibawa daripada J5 petrol, yang hadir dengan enam beg udara dan rangkaian sistem bantuan pemandu. Ini termasuk autonomous emergency braking, adaptive cruise control dengan stop and go, lane centering assist, curve speed reduction, evasive steering assist, blind spot monitoring dengan collision prevention, rear cross traffic alert dengan brek automatik dan door opening warning.



