Toyota Land Cruiser FJ telah dilancarkan di Jepun. Diposisikan di bawah Land Cruiser 300, 70 Series dan 250 Series, FJ ditawarkan di Jepun dalam satu varian sahaja iaitu VX, dengan harga JPY 4,500,100, atau sekitar RM 113k sebelum cukai dan duti Malaysia. Dari segi rekaan, Land Cruiser FJ mengekalkan bentuk berkotak yang sinonim dengan nama
Toyota Land Cruiser FJ telah dilancarkan di Jepun. Diposisikan di bawah Land Cruiser 300, 70 Series dan 250 Series, FJ ditawarkan di Jepun dalam satu varian sahaja iaitu VX, dengan harga JPY 4,500,100, atau sekitar RM 113k sebelum cukai dan duti Malaysia.
Dari segi rekaan, Land Cruiser FJ mengekalkan bentuk berkotak yang sinonim dengan nama Land Cruiser, dengan kabin berbentuk segi empat, fender lebih lebar, lampu berbentuk U, roof rail, side step, skid plate hadapan dan tayar simpanan yang dipasang di belakang.
Toyota turut memasang bahagian bampar hadapan dan belakang jenis segmented yang boleh ditanggalkan. Ini membolehkan bahagian yang rosak diganti secara individu tanpa perlu menukar keseluruhan bampar.
Di bawah bonet, Land Cruiser FJ menggunakan enjin petrol 2.7 liter naturally aspirated 2TR-FE 4-silinder yang menghasilkan 163 PS dan 246 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan Super ECT serta sistem part-time 4WD.
Land Cruiser FJ menggunakan platform ladder-frame yang berasal daripada siri IMV Toyota. Casis ini telah disesuaikan untuk badan yang lebih kecil, dengan ketegaran lateral dipertingkatkan melalui jarak roda lebih pendek serta tambahan bracing.
Suspensi terdiri daripada sistem high-mount double wishbone di hadapan dan gandar belakang rigid 4-link dengan lateral rod. Bantuan off-road pula merangkumi Downhill Assist Control, Hill Start Assist Control dan electronic rear differential lock.
Dari segi saiz, Land Cruiser FJ berukuran 4,575 mm panjang dan 1,855 mm lebar, menjadikannya 350 mm lebih pendek dan 125 mm lebih sempit berbanding Land Cruiser 250. Jarak rodanya pula ialah 2,580 mm, iaitu 270 mm lebih pendek berbanding 250 Series, menyumbang kepada radius pusingan 5.5 meter.
Walaupun lebih kecil, FJ masih menawarkan susun atur dua baris dengan lima tempat duduk. Tempat duduk belakang 60:40 boleh dilipat, digelongsor dan dilaras sudut sandarannya. Ruang but pula adalah 795 liter dengan tempat duduk belakang digunakan, dan meningkat kepada 1,607 liter apabila dilipat.
Di bahagian dalaman, kabin direka dengan fokus kepada keterlihatan dan kemudahan penggunaan. Ia menggunakan cowl rendah, papan pemuka mendatar dan susun atur suis yang bertujuan mengurangkan pergerakan mata pemandu.
Kelengkapan standard termasuk Toyota Safety Sense, Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor dan sistem audio paparan 12.3 inci dengan Connected Navigation.
Untuk Malaysia, Land Cruiser FJ mungkin bukan kes yang mudah. Walaupun harga Jepunnya nampak menarik atas kertas, struktur cukai Malaysia yang masih bergantung kepada kapasiti enjin bermaksud enjin petrol 2.7 liter ini berkemungkinan menjadikannya mahal di sini. Sebagai perbandingan, Toyota Fortuner 2.7 sudah pun berharga lebih RM 200k di Malaysia.
Jika Land Cruiser FJ masuk ke Malaysia, laluan grey import mungkin lebih realistik berbanding pelancaran rasmi. Dengan jualan di Jepun sudah bermula, jangan terkejut jika model ini mula muncul di kedai recon tempatan tahun depan.



